
KEMASKINI…Ini penjelasan Azam Baki pasal lanjutan kes RM169 juta yang disita SPRM babit Ismail Sabri
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki hari ni menjelaskan kedudukan tunai lebih RM169 juta yang disita SPRM membabitkan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ini ekoran laporan media bahawa Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin diberitahu Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat untuk mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita SPRM.
Wang tunai itu dalam pelbagai mata wang telah dirampas semasa serbuan pada Mac lalu ke atas beberapa premis termasuk “rumah selamat” (safehouse) empat bekas pembantu Ismail Sabri.
Bercakap dalam sidang akhbar di Putrajaya pada Selasa beliau berkata keputusan Ismail Sabri untuk tidak mencabar pelucutan itu akan menyaksikan wang itu dimasukkan ke dalam dana kerajaan.
Namun menurutnya ia tidak bermakna tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu.
“Kami melucutkan wang RM170 juta itu […] Saya tidak kata tidak perlu dakwa dia.
“Saya serahkan (pertuduhan) itu kepada keputusan timbalan pendakwa raya,” katanya.
Dalam bab itu Azam Baki beritahu Timbalan Pendakwa Raya masih belum membuat sebarang keputusan untuk menuduh mana-mana pihak berhubung pelucutan hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita SPRM itu.
Beliau memberitahu pihaknya menyerahkan isu pertuduhan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat sebarang keputusan lanjut.
“Pihak Timbalan Pendakwa Raya belum lagi membuat sebarang keputusan untuk menuduh mana-mana pihak dalam kes ini.
“Kita tidak meletakkan sebarang garis masa kerana Timbalan Pendakwa Raya adalah badan bebas manakala SPRM hanya menjalankan siasatan,” katanya.- 9/9/2025
Ismail Sabri tidak hasrat cabar permohonan SPRM lucut hak wang lebih RM169 juta
KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen pada Isnin diberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat untuk mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan perkara itu semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mahadi berkata, kedua-dua responden (Ismail Sabri dan Mohammad Anuar) melalui peguam mereka telah menghantar surat bertarikh 28 Ogos lepas kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian terbabit.
“Pihak kami memohon supaya satu warta pihak ketiga di bawah Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009 dikeluarkan untuk permohonan ini dan kami akan cuba untuk menyegerakan proses tersebut,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri dan Mohammad Anuar mengesahkan kandungan surat berkenaan.
Suzana kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas wang tunai berkenaan dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan lanjut.
“Saya benarkan warta dikeluarkan kepada pihak ketiga sekiranya pihak berkenaan ada kepentingan terhadap harta-harta yang disenaraikan. Saya kekalkan tarikh bicara (untuk pihak ketiga hadir di mahkamah) pada 1 Oktober depan,” katanya.
Amer Hamzah turut memohon supaya kehadiran kedua-dua responden dikecualikan pada tarikh itu dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
Dalam pada itu, Mahadi ketika dihubungi Bernama berkata, sekiranya tiada pihak ketiga hadir pada prosiding 1 Oktober, wang berkenaan (RM169 juta) akan dilucutkan hak kepada kerajaan.
Pada 7 Julai lepas, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang didakwa milik Ismail Sabri, yang disita daripada Mohammad Anuar kepada kerajaan Malaysia.
Jumlah itu meliputi RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP£50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.
Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bera itu.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lepas. – Bernama – 8/9/2025



