
SPRM tutup kes dakwaan isu lesen perlombongan di Sabah terhadap Farhash…
Akhirnya muncul jawapan pada polimek dakwaan yang mengaitkan ahli perniagaan dan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim yakni Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dengan isu lesen perlombongan di Sabah.
Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki beritahu satu sidang akhbar di Putrajaya pada Selasa bahawa kes terhadapnya telah ditutup.
Katanya ini selepas siasatan mendapati tiada lesen penerokaan dikeluarkan kepada syarikat milik ahli perniagaan itu.
Menurut Azam kertas siasatan kes berkenaan telah diserah kepada Jabatan Peguam Negara dan mendapati tiada sebarang pertuduhan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak.
Beliau menjelaskan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash pernah mengemukakan permohonan penerokaan mineral kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) pada Mac 2023.
Namun syarikat berkenaan gagal menyerahkan dokumen yang diminta, menyebabkan permohonan itu ditamatkan pada Mac tahun ini.
Azam huraikan semasa dalam proses siasatan pihak SPRM memanggil semua yang terbabit serta merekod kenyataan daripada Sabah Mineral Management, kerajaan negeri, siapa-siapa yang dikatakan terbabit.
Polimek isu ini timbul selepas sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash didakwa telah menerima kelulusan lesen cari gali arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah.
Ia lebih mencuri perhatian ramai selepas bekas Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli gesa agar SPRM jalankan siasatan.
Rafizi berpendapat SPRM mempunyai asas yang mencukupi untuk menyiasat perkara berkenaan.
Menurut beliau, maklumat yang telah tular di media sosial menunjukkan kewujudan unsur yang wajar disiasat bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan persepsi negatif terhadap kerajaan.- 9/9/2025