
Simulasi patung jatuh dilakukan di SMKA Tun Datu Mustapha
Mahkamah Koroner pagi Khamis mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha bagi sesi locus in quo, iaitu prosiding luar mahkamah berhubung inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Lawatan yang memasuki hari keenam prosiding inkues itu diketuai Koroner Amir Shah Amir Hassan, bersama beberapa peguam pendakwaan dan peguam mewakili keluarga mangsa.
Mereka tiba di lokasi sekitar pukul 9.30 pagi.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu.
Pengamal media turut berada di kawasan sekolah, namun tidak dibenarkan masuk dan hanya menunggu di luar pagar sekolah.
Polis turut mengadakan kawalan keselamatan di sekitar kawasan sekolah dan kawasan berhampiran.
Pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang juga saksi pertama daripada 17 hari inkues yang bermula pada Rabu lalu, dijangka hadir.
Pada 2 Ogos lalu, Dr Hiu dipanggil polis untuk memeriksa tempat kejadian, manakala rakan sekerjanya dari Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu secara sukarela melakukan demonstrasi.
Dr Hiu membentangkan penemuan siasatan tempat kejadian pada hari kedua prosiding.
Saksi kelima, pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Maidon Bernadus, juga memberitahu mahkamah pada prosiding hari keempat dan kelima mengenai simulasi yang dilakukan pasukannya menggunakan patung pada 3 Ogos.
Hari ini, patung baharu digunakan untuk menjalankan simulasi terjatuh di lokasi kejadian.
Semalam, peguam, Joan Goh, berkata patung itu dipilih kerana ia menyerupai fizikal si mati, dengan ketinggian dan berat yang hampir sama.
“Mahkamah sudah meluluskan permohonan kami untuk membawa patung ini. Kami akan meletakkan berat yang diperlukan untuk memastikan ia mencerminkan keadaan sebenar.
“Patung itu akan dipakaikan baju sukan dan kemeja-T nipis, seberat kira-kira 53 kilogram dan berukuran 154 sentimeter tinggi – hampir sepadan dengan fizikal sebenar mangsa.
“Simulasi akan dijalankan di blok asrama sekolah di mana si mati ditemukan, dengan beberapa ujian berbeza dijalankan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas,” katanya kepada media selepas prosiding inkues di Mahkamah Koroner, di sini, semalam.
Beliau berkata, terdapat dua jenis simulasi iaitu dengan dan tanpa daya, akan dilakukan terhadap patung itu.
Prosiding hari ini kemungkinan akan disambung di Mahkamah Koroner pada sebelah petang untuk meneliti semula keterangan Dr Hiu.-11/9/2025