FOKUS

Kecoh di Kg Sungai Baru: Polis tahan 7 suspek

Polis menahan tujuh suspek berhubung insiden kekecohan ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres di Kampung Sungai Baru di Kuala Lumppur kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kesemua suspek lelaki berusia antara 15 hingga 50 tahun itu ditahan dengan enam daripada mereka direman dua hingga tiga hari bermula semalam, manakala seorang lagi telah didakwa di mahkamah.

“Suspek yang dituduh, iaitu lelaki berusia 26 tahun mengaku bersalah, didenda RM1,500 dan ketika ini telah dibebaskan.

“Polis akan memohon pelanjutan reman untuk suspek lain bagi meneruskan siasatan. Ada antara yang ditahan itu mempunyai rekod lampau jenayah pecah rumah dan kes lain,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur malam tadi.

Fadil berkata setakat ini tiga kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 186, 353 dan 324 Kanun Keseksaan.


Siasatan mendapati mereka yang ditahan bukan penduduk yang beralamat di Kampung Sungai Baru, sebaliknya dipercayai ketua serta ahli kepada satu pertubuhan.

“Saya masih tidak dapat mendedahkan jika mereka ini ada agenda atau kepentingan lain kerana siasatan masih dijalankan. Saya juga ingin menegaskan jika didapati ada lagi tindakan agresif ke atas penguat kuasa, tindakan awal akan segera dilakukan,” katanya.

Beliau berkata polis masih mengesan beberapa lagi suspek berhubung kes itu dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan.


“Kita juga minta kerjasama orang ramai yang menyimpan video-video berkaitan dengan insiden tersebut untuk berkongsi video itu dengan polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman yang mengalami kecederaan di kepala dalam insiden berkenaan masih menerima rawatan, namun dalam keadaan baik dan tidak dimasukkan ke wad hospital. – Bernama – 13/9/2025

KEMASKINI : PM mahu dalang cederakan OCPD di Kg Sungai Baru diberkas segera…KPN kata 3 ditahan bantu siasatan

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tiga lelaki ditahan berhubung insiden menyebabkan kecederaan Ketua Polis Daerah (OCPD), Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman semasa operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru pada Khamis.

Ditemui wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur beliau beritahu mereka ditahan untuk bantu siasatan.

Menurut Khalid keadaan di kawasan kampung berkenaan adalah baik dan terkawal.

Sulizmie cedera di kepala dipercayai terkena balingan objek pihak tertentu masa operasi itu.

Sebelum itu dalam ulasan segera mengenai kejadian berkenaan menerusi laman faceboooknya ,Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu dalang serangan di tapak projek Kampong Sungai Baru hingga cederakan OCPD Dang Wangi itu segera diberkas.

BERIKUT IALAH ULASAN PENUH PM :

Kerajaan hormat hak untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, dan ia dibuktikan dengan konsisten melibatkan pelbagai himpunan sebelum ini.

Namun, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang.

Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.

Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan.

Berhimpun secara aman mesti tidak harus disalahguna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat.

Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat. – 11/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button