FOKUS

Malaysia undi sokong Resolusi PBB iktiraf negara Palestin

KUALA LUMPUR – Sebagai tanda solidariti bersama Palestin dan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap usaha untuk merealisasikan penyelesaian dua negara dan mengiktiraf Negara Palestin, Malaysia telah mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Deklarasi New York pada 12 Sept.

Resolusi itu telah diterima pakai dengan sokongan majoriti besar Negara Anggota PBB dengan 142 undi.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan komitmen kolektif dan penerimaan masyarakat antarabangsa kepada penyelesaian dua negara dan pengiktirafan Negara Palestin merupakan langkah penting ke arah menamatkan pendudukan haram Israel dan jenayah keganasan rejim Zionis Israel, mendorong Malaysia membuat keputusan menyokong resolusi berkenaan.

“Dalam Kenyataan Negara selepas proses pengundian, Malaysia menegaskan bahawa penyelesaian dua negara dan pengiktirafan Negara Palestin perlu direalisasikan tanpa sebarang pra-syarat, berdasarkan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin.

“Malaysia menegaskan bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin dan hak pulang ke tanah air bagi jutaan pelarian Palestin, yang terjamin di bawah undang-undang antarabangsa, mesti dijadikan sebahagian daripada penyelesaian isu ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut menggesa supaya kelemahan dan kekurangan Deklarasi New York ini ditangani sepenuhnya melalui langkah-langkah konkrit dan penetapan pelan tindakan yang melindungi dan memelihara kebebasan serta hak kenegaraan rakyat Palestin, menghormati kehendak dan aspirasi rakyat Palestin, menjamin keselamatan Palestin dan memastikan akauntabiliti dikenakan ke atas Israel bagi pencabulan undang-undang antarabangsa, jenayah genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Kenyataan itu menegaskan bahawa deklarasi terbabit perlu membuka jalan untuk menamatkan peperangan dan kekejaman rejim Zionis Israel ke atas Gaza dengan serta merta dan bencana kemanusiaan di Wilayah Palestin dalam mencapai keamanan yang berkekalan di rantau Timur Tengah.

Deklarasi setebal tujuh muka surat itu merupakan hasil persidangan antarabangsa di PBB pada Julai, yang dianjurkan oleh Arab Saudi dan Perancis berhubung konflik berdekad lamanya.

Amerika Syarikat (AS) dan Israel memboikot persidangan berkenaan, menurut laporan media antarabangsa. – Bernama -13/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button