FOKUS

Malaysia gesa negara Islam putus hubungan diplomasi dengan Israel

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel terhadap Doha, Qatar yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ia tindakan biadab terhadap negara yang berdaulat dan provokasi yang membahayakan keselamatan serantau.

“Ini satu tindakan sabotaj terhadap usaha perdamaian yang digerakkan Qatar bawah kepimpinan Emir, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

“Serangan itu pastinya serangan terancang yang tidak ada negara yang terselamat daripada keganasan Zionis Israel,” kata Perdana Menteri ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Tergempar negara Arab dan Islam di sini.

Datuk Seri Anwar turut menzahirkan kebimbangan terhadap kekejaman Israel yang semakin meluas hingga pengeboman dibuat ke atas Lubnan, Syria, Yaman, Iraq dan Iran.

“Perbuatan zalim itu menggambarkan sikap biadab Israel yang menghina asas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa,”

“Israel terus meningkatkan keganasan tanpa dihukum,” tegasnya.

Sementara itu, Malaysia sambut baik muafakat yang ditunjukkan Qatar serta negara-negara Islam dalam menegaskan kecaman terhadap kekejaman rejim Zionis Israel.

Anwar berkata gesaan semata-mata tidak memadai, sebaliknya perlu disusuli tindakan tegas.

“Antara langkah munasabah yang boleh kita lakukan ialah, pertama, memutuskan segala hubungan diplomatik dengan Israel, sebagaimana yang telah dimulakan oleh beberapa negara Arab.

Kedua, menghentikan semua urusan dagangan dengan Israel,” katanya kepada pemberita pada sidang media sebelum Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, hari ini.

Menurut beliau, negara-negara Islam juga perlu menggunakan segala ruang dan kebijaksanaan diplomatik, khususnya dengan negara yang mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat.

Ini bagi memastikan segala keputusan yang dibuat selari dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta tuntutan kemanusiaan sejagat.

Tegas beliau, isu Gaza bukan lagi sekadar soal Palestin semata-mata, tetapi turut membabitkan negara lain termasuk Qatar, Syria, Iraq, Iran dan Lebanon.

Menurutnya, pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober depan juga akan dimanfaatkan untuk menyampaikan dengan jelas pendirian Malaysia dalam menuntut keadilan untuk Gaza dan Palestin.-16/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button