YANG VIRAL

Bantuan kerajaan… ganti MyKad sekiranya cip tidak berfungsi sahaja – JPN

Bukan semua orang perlu ganti MyKad untuk terima bantuan kerajaan sebaliknya penggantian tersebut hanya perlu dibuat sekiranya cip rosak atau tidak berfungsi sahaja jelas Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias.

Beliau sekaligus menafikan kerajaan mengeluarkan MyKad baharu atau cip khas bagi tujuan menerima bantuan kerajaan.

Tegas beliau, MyKad sedia ada masih sah dan boleh digunakan untuk semua urusan sekiranya masih dalam keadaan baik.

“MyKad sememangnya telah lama digunakan sebagai platform pengesahan maklumat penerima bantuan kerajaan termasuk program terkini seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara one-off dan bakal digunakan juga untuk pengagihan subsidi RON95.

“Kekeliruan timbul apabila disebut penggantian cip kad pengenalan, tetapi sebenarnya ia merujuk kepada situasi cip sedia ada pada MyKad rosak dan tidak dapat dibaca ketika digunakan di premis tertentu.

“Contohnya ketika menebus barangan asas Rahmah, jika MyKad gagal dibaca, itu bermakna cip sudah rosak. Dalam keadaan itu barulah hadir ke JPN untuk ganti kad pengenalan,” katanya.

Tambah Badrul Hisham, jika cip masih berfungsi dengan baik, pengguna tidak perlu tergesa-gesa menukar kad.

Ujarnya, cip MyKad boleh rosak terutama yang sudah digunakan terlalu lama terutama melebihi 10 tahun.

“Tetapi, jika baru ditukar setahun atau dua tahun dan masih boleh digunakan di premis-premis tertentu, itu bermaksud cip masih dalam keadaan baik.

“Penggantian kad pengenalan hanya perlu dibuat apabila cip rosak, gagal dibaca atau berada dalam keadaan fizikal tidak sesuai digunakan lagi, bukan kerana wujud sebarang cip baharu,” jelas beliau.-21/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button