KEMBARA

22 juta pelancong dari Singapura sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026

Malaysia menyasarkan kehadiran 22 juta pelancong dari Singapura sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), sekali gus dijangka merancakkan lagi ekonomi pelancongan Malaysia, susulan republik itu kekal antara pasaran utama pelancong asing.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, berkata setakat ini hampir 12 juta rakyat Singapura melancong ke Malaysia pada 2025 dan angka itu dijangka terus meningkat menjelang 2026.

“Pelancong Singapura adalah kumpulan terbesar dan bagi TMM2026, kita sasar 22 juta rakyat Singapura datang ke Malaysia untuk aktiviti pelancongan dan sebagainya,” katanya selepas majlis penyerahan van jenazah antara Muslim Care Malaysia (MCM) dan 1 Third Media Movement di Masjid Al-Jawahir, Johor Bahru.

Turut hadir, Presiden MCM, Zulkifili Wahijan dan Pengasas 1 Third Media Movement, Mohammad Razuan Yazid.

Datuk Dr Azfar berkata kedekatan geografi dan kos sara hidup tinggi di Singapura menjadikan Johor khususnya terus menjadi destinasi pilihan utama rakyat republik itu bagi pelancongan serta beli-belah.

Beliau berkata laporan antarabangsa baru-baru ini turut menyenaraikan Singapura sebagai bandar keempat termahal di dunia, justeru ramai rakyatnya yang berpendapatan sederhana menjadikan Malaysia terutama Johor sebagai lokasi beli-belah dan mendapatkan barangan keperluan harian.

“Bukan semua rakyat Singapura golongan berada, jadi saya pasti mereka akan terus datang ke Johor untuk beli-belah, beli barangan dapur dan sebagainya,” katanya.

Datuk Dr Azfar berkata keadaan itu bakal memberi limpahan ekonomi positif kepada Malaysia, namun pada masa sama, kerajaan perlu memastikan kebajikan rakyat khususnya di Johor tidak terbeban dengan kuasa beli tinggi warga Singapura.

Singapura kekal sebagai pasaran terbesar bagi sektor pelancongan Malaysia apabila mencatatkan lebih 10.29 juta pelawat sepanjang Januari hingga Jun 2025, meningkat 22.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.

Peningkatan itu sekali gus mengekalkan kedudukan Singapura jauh di hadapan negara lain dalam aspek jumlah ketibaan pelancong asing ke Malaysia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata Indonesia berada di tempat kedua jumlah pelawat tertinggi ke Malaysia bagi tempoh sama dengan 2.2 juta pelawat, meningkat 8.2 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.-21/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button