
Shell MDS perlu bayar kepada PETRONAS, bukan PETROS lebih RM500 juta
Mahkamah Rayuan pada Isnin memerintahkan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd membuat pembayaran berhubung pembekalan gas kepada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) yang dianggarkan melebihi RM500 juta.
Ia berikutan syarikat minyak nasional itu berjaya mengetepikan injunksi sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi, supaya ia terus membekalkan gas kepada Shell MDS di fasiliti Bintulu, Sarawak, tanpa menerima sebarang bayaran sejak Ogos lalu.
Tindakan tidak membuat pembayaran oleh Shell MDS timbul disebabkan dakwaan adanya dua invois, iaitu daripada PETRONAS dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS), menyebabkan kebimbangan Shell MDS terhadap kemungkinan perlu membuat bayaran berganda, sementara isu bidang kuasa antara PETRONAS dan PETROS sedang diselesaikan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azimah Omar sebulat suara membenarkan rayuan PETRONAS untuk mengetepikan injunksi berkenaan dan memerintahkan jumlah itu dibayar dalam tempoh 14 hari, iaitu bagi bayaran sejak Ogos tahun lalu.
Ia membenarkan PETRONAS mengetepikan injunksi mandatori yang menghendaki syarikat minyak dan gas itu terus membekalkan gas tanpa menerima sebarang bayaran setakat ini.
PETRONAS juga berjaya mengetepikan injunksi kedua dan ketiga iaitu berhubung dengan Jaminan Bank.
Shell MDS memohon supaya PETRONAS dihalang daripada membuat tuntutan ke atas jaminan itu, menerima atau menggunakan hasilnya, serta memohon pemulangan semula hasil yang telah diterima.
Panel kemudian memerintahkan jumlah yang perlu dibayar dikira sehingga tempoh 5 Oktober ini dan wang berkenaan hendaklah didepositkan pada keesokannya.
Turut bersidang dalam panel itu, ialah Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim.
Pada prosiding itu, peguam Datuk Cyrus V Das, Khoo Guan Huat dan Datuk Azian Mohd. Aziz mewakili PETRONAS manakala Christopher Leong dan Janet Chai Pei Ying mewakili Shell MDS sementara Logan Sabapathy dan Foo Joon Liang mewakili PETROS selaku pencelah.
Dalam pendengaran sebelum ini di Mahkamah Rayuan, Cyrus menyatakan syarikat itu mengalami kerugian melebihi RM80 juta sebulan akibat daripada Shell MDS tidak membuat pembayaran itu, yang disimpan dalam akaun Shell MDS susulan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu.
Shell MDS memohon injunksi, yang telah dibenarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Arziah Mohamed Apandi, untuk menggantung pembayaran kepada PETRONAS dan PETROS, dan memastikan bekalan gas terus disalurkan.
Arziah dalam keputusannya berkata, Shell MDS menghadapi risiko dan ancaman gangguan terhadap bekalan gasnya di bawah dua perjanjian jualan gas (GSA) yang bersaing, dengan implikasi kewangan kerana pembayaran bulanan dianggarkan antara RM70 juta hingga RM100 juta.
Menurut Arziah, Shell MDS berusaha untuk meredakan keadaan dengan menawarkan untuk mengetepikan pembayaran dalam akaun berfaedah sementara menunggu penyelesaian, tetapi PETRONAS telah mengambil tindakan untuk menuntut jaminan bank.
Injunksi itu diberikan berdasarkan pembabitan Shell MDS dalam dua perjanjian bekalan gas yang berasingan, iaitu satu dengan PETRONAS (ditandatangani pada 17 Julai 2020) dan satu lagi dengan PETROS (ditandatangani pada 16 Ogos 2024).
Arziah berkata, mahkamah menekankan bahawa pengaturan ini adalah bersifat sementara dan tertakluk kepada pindaan jika berlaku perubahan keadaan atau sekiranya pihak mencapai persetujuan melalui saluran kerajaan.
Katanya, injunksi itu mengekalkan kedudukan semua pihak sementara menunggu keputusan muktamad isu substantif, selain memastikan Shell MDS dapat meneruskan operasinya tanpa menjejaskan hak muktamad sama ada PETRONAS atau PETROS sebagaimana akan ditentukan oleh mahkamah.-23/9/2025