YANG VIRAL

Rafizi dakwa banyak kelemahan dalam pengagihan BUDI95

Lagi kritikan kepada kerajaan sejak letak jawatan sebagai menteri ini… yang terbaru Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa pelaksanaan subsidi petrol bersasar melalui Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diumumkan Perdana Menteri hari ini masih mempunyai banyak kelemahan.

Malah bekas Menteri Ekonomi itu berpendapat, mekanisme tersebut boleh mencipta satu ruang ketirisan baharu untuk dimanipulasi pengguna yang tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, penyelewengan tetap boleh berlaku walaupun setiap rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu yang sah ditetapkan hanya boleh membeli 300 liter RON95 pada harga RM1.99 seliter setiap bulan.

“Sebagai contoh, mereka yang tidak memerlukan kuota bulanan 300 liter boleh membeli pada harga subsidi dan kemudiannya menjual semula bahan api itu pada harga lebih tinggi.

“Satu contoh lagi, mereka yang diberikan kemudahan mendapatkan petrol bersubsidi tanpa had seperti pemandu e-hailing boleh membuka risiko ketirisan petrol bersubsidi dibeli pada jumlah yang banyak untuk dijual di pasaran gelap,” katanya menerusi hantaran video di Facebook, hari ini.

Menerusi video berdurasi lebih 10 minit itu, Rafizi turut menggariskan beberapa kelemahan yang terdapat dalam mekanisme yang diguna pakai bagi pelaksanaan BUDI95.

Menurut beliau, mekanisme yang digunakan tidak mampu mengagihkan subsidi secara lebih adil di antara B40 dan T20.

Jelasnya, golongan lebih berada mempunyai lebih banyak kenderaan dan setiap orang dewasa dalam isi rumah tersebut berkemungkinan mempunyai lesen dan kenderaan sendiri.

Maka, jumlah subsidi yang dinikmati kumpulan berada adalah lebih besar daripada jumlah yang diperolehi golongan kurang berada.

Menurut Rafizi, dari perspektif tersebut, kerajaan bukan menyasarkan semula subsidi sebaliknya hanya menghadkan subsidi.

Tambah beliau,mekanisme itu juga mungkin tidak akan menjimatkan jumlah subsidi RON95 yang ditanggung kerajaan iaitu anggaran sekitar RM10 ke RM15 bilion setahun bagi 2025 dan 2026.

Ini kerana kuota 300 liter itu diberikan kepada setiap rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu yang sah tanpa mengira kedudukan kewangan mereka.

Selain itu, Rafizi juga menjangkakan BUDI95 akan lebih membebankan rakyat terutamanya yang pasangan yang tinggal di kawasan bandar dan menggunakan petrol melebihi 300 liter sebulan untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Keputusan telah dibuat dan saya pasti perkara-perkara yang saya sebutkan tadi diketahui oleh Kementerian Kewangan yang memilih kaedah ini.

“Kita hanya akan dapat mengesahkan kesan keseluruhan kepada kedudukan fiskal negara, matlamat penyasaran dan risiko ketirisan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan dari sekarang,” katanya lagi.-23/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button