SUARA PEMBACA

Jualan RAHMAH MADANI 56 jam tanpa henti di Sungai Petani Jumaat ini

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal menggegarkan zon Utara menerusi Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang akan berlangsung 26 hingga 28 September ini di Dataran Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah.

Siri jelajah ini adalah kali keempat selepas kejayaan penganjurannya di Zon Selatan (Johor), Sabah dan Sarawak sekali gus mencerminkan usaha berterusan KPDN dalam mendekatkanmasyarakat dengan fungsi serta perkhidmatan KPDN.

Pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai informasi menarik dan interaktif melalui Pavilion KPDN dan agensi yang menawarkan khidmat nasihat, advokasi kepenggunaan dan penguatkuasaan, pendaftaran perniagaan dan harta intelek serta memanfaatkan semua inisiatif serta bantuan kos sara hidup yang disediakan untuk rakyat melalui Pavilion Kos Sara Hidup.

Acara yang dinantikan dan menjadi tumpuan utama di Karnival KPDN iaitu Jualan RAHMAH MADANI menawarkan pelbagai barangan keperluan harian kering dan basah pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Istimewanya di Zon Utara, jualan ini berlangsung tanpa henti selama 56 jam, bermula 9 pagi (Jumaat) hingga 6 petang (Ahad) sekali gus membolehkan orang ramai membeli-belah pada bila-bila masa, walaupun pada jam 3 pagi!

Selain itu, gerai jualan Menu RAHMAH juga menyajikan pelbagai menu makanan dan minuman pada harga serendah RM5.00 sahaja.

Mengangkat slogan “Jom Beli Lokal” menerusi inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia yang diperkasakan bersama Karnival KPDN pada tahun ini, pengunjung boleh menzahirkan semangat cintakan negara dengan menyokong dan membeli pelbagai produk dan barangan daripada lebih 50 usahawan tempatan termasuk jenama besar seperti Julie’s, Farm Fresh, Mokti’s, Hasnuri, Radix dan banyak lagi.

Manakala, khemah automotif yang menampilkan tiga jenama besar tempatan iaitu Proton, Perodua dan Modenas pastinya memikat hati pengunjung dengan pakej jualan dan rebat hebat yang ditawarkan.

Selain ‘Pocket Talk’ dan sesi interaktif Kahoot, karnival ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga termasuklah ‘Meet & Greet’ Didi & Friends, pertandingan mewarna kanak-kanak, Art Battle, Eksplorasi Mini KPDN, Nyanyian Cilik Patriotik, e-Sports dan Ekspedisi Kos Sara Hidup.

Karnival KPDN ini akan turut dihangatkan dengan persembahan artis jemputan seperti Black Hanifah, Usop Mentor, Iman Troye, Darulaman Buskers dan Kumpulan Hijjaz.

Bagi pencari kerja, jangan lepaskan Karnival Kerjaya x MYFutureJobs anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menganggarkan lebih 15 majikan termasuk Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON), United Oversea Bank (UOB), Pelabuhan Tanjung Pelepas dan banyak lagi dengan lebih 400 jawatan kosong ditawarkan kepada pencari kerja.

Masuk adalah percuma. Pengunjung yang berbelanja di mana-mana khemah jualan juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuklah Proton S70, Perodua Alza dan Modenas Kriss 110.

Selaras dengan tagline “IKHTIAR KITA Untuk Semua”, Jelajah Karnival KPDN 2025 dan KBBM Zon Utara bukan sekadar membawakan hiburan, merangsang jualan dan ekonomi usahawan tempatan, tetapi usaha merakyatkan fungsi serta perkhidmatan KPDN seterusnya melahirkan masyarakat yang berdaya upaya.

Ayuh! Warga zon Utara termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, luangkan hujung minggu anda berhibur bersama keluarga dengan berkunjung ke Karnival KPDN 2025 dan KBBM Zon Utara.

Maklumat lanjut berkaitan pengisian boleh didapati dengan melayari platform media sosial rasmi KPDN Laman Rasmi.

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button