TAHUKAH ANDA

Kepercayaan, inovasi dan kerjasama teras transformasi digital ASEAN

Malaysia menjadi tuan rumah julung kali penganjuran Digital Nation Summit Kuala Lumpur – Edisi ASEAN yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.

Sidang anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA) itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri serta rakan serantau bagi membincangkan hala tuju masa depan digital ASEAN.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dalam ucaptama beliau menegaskan tiga teras utama yang menjadi tumpuan Malaysia, iaitu memperkukuh kepercayaan digital, memacu inovasi ekonomi digital serta mengukuhkan kerjasama serantau.

“Kepercayaan digital menjadi asas melalui pelaksanaan undang-undang baharu seperti Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, di samping inisiatif advokasi keselamatan internet yang setakat ini telah menjangkau lebih 150,000 rakyat,”ujarnya.

Menyentuh mengenai inovasi, Teo berkata ekonomi digital ASEAN kini bernilai AS$300 bilion dan dijangka melebihi AS$1 trilion menjelang 2030.

“Di Malaysia, program Geran Digital PMKS Madani, pelaksanaan JENDELA serta pembangunan 5G memberi impak besar kepada komuniti dan perniagaan dengan liputan 5G negara telah mencapai 82.4 peratus kawasan berpenduduk,” jelas beliau.

Dalam aspek kerjasama serantau, beliau berkata Malaysia akan terus berganding bahu dengan negara jiran, sektor swasta dan rakan antarabangsa termasuk peluasan siri GSMA M360 ke ASEAN pada 2026, selaras dengan Visi ASEAN 2045 untuk membina komuniti digital yang berdaya tahan, inovatif dan inklusif.

“Sidang kemuncak ini adalah permulaan kepada bab baharu pembinaan negara digital ASEAN – dipacu kepercayaan, berkembang melalui inovasi, dan maju bersama,” katanya.-24/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button