FOKUS

Dakwaan Malaysia jadi pusat operasi Hamas…ini penjelasan KPN

Sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin amat dekat di hati rakyat Malaysia namun negara ini bukanlah pusat operasi Hamas.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, “berdasarkan kedudukan kita sebagai sebuah negara Islam, perjuangan di Palestin sememangnya dekat di hati rakyat Malaysia.

“Atas sebab itu, kita sentiasa memberi sokongan berterusan kepada Palestin,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Khalid menegaskan agensi keselamatan tempatan tetap berwaspada agar semangat solidariti itu tidak dieksploitasi untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.

“Alhamdulillah, polis ada kerjasama baik dengan semua agensi kerajaan, khususnya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Rabu.

Media baru ini melaporkan bekas penganalisis kewangan keganasan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer, mendakwa Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas.

Dalam satu hantaran di platform X, Jonathan turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak berminat dengan perdamaian.

Kritikan tersebut muncul selepas Anwar menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin dan menggesa supaya hubungan dengan Israel diputuskan kerana Gaza terus dihancurkan manakala Tebing Barat dirampas.

Dalam isu berkaitan kelmarin,Kementerian Luar menegaskan Malaysia menolak sebarang cubaan berniat jahat yang menyalahtafsirkan sokongan politik dan usaha kemanusiaannya buat sekian lama terhadap rakyat Palestin.

Katanya menerusi satu kenyataan Malaysia bukan sahaja konsisten memperjuangkan keamanan dan keadilan, malah menghormati Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, Malaysia juga menghormati undang-undang antarabangsa dan prinsip kewujudan bersama secara aman dalam kalangan serta antara negara.

“Prinsip asas ini menjadi teras dasar luar Malaysia sejak mencapai kemerdekaan. Selaras dengan prinsip ini, Malaysia dengan tegas menentang penjajahan, pendudukan asing, pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

“Ia termasuk hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan, serta dasar aparteid,” katanya.

Pada masa sama, menurut Kementerian Luar sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk keamanan, keadilan, kebebasan dan kemerdekaan , serta menentang dengan keras pendudukan dan genosid yang dilakukan rejim Israel, adalah sejajar dengan prinsip asas dan nilai sejagat yang diiktiraf komuniti antarabangsa.

Katanya, Malaysia akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan masyarakat antarabangsa bagi mendapatkan keamanan dan keadilan serta menyediakan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

“Sehingga akhirnya merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

“Malaysia turut menegaskan bahawa keadilan dan akauntabiliti adalah sangat penting untuk menjamin keamanan berkekalan,” katanya.

Menurutnya rejim Zionis Israel mesti dipertanggungjawabkan atas ketidakadilan ketara yang terus dilakukan terhadap rakyat Palestin dan pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa. – 24/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button