TAHUKAH ANDA

Lesen memandu tamat tempoh lebih tiga tahun, tak layak terima subsidi RON95

Seramai 2.4 juta pemandu dalam negara termasuk warga asing tidak layak menerima subsidi petrol RON95 secara automatik menerusi program Budi MADANI RON95 atau Budi95 kerana gagal memperbaharui lesen memandu yang telah tamat tempoh lebih daripada tiga tahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah berkenaan dikira berada dalam status tidak aktif dengan 1.4 juta telah tidak aktif melebihi 10 tahun.

Menurut Loke, sebanyak 925,421 pemegang lesen pula didapati telah tamat tempoh lesen tetapi tidak melebihi tiga tahun.

Katanya, ia sekali gus diklasifikasikan sebagai masih aktif bersama kira-kira 15 juta pemegang lesen memandu lain.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 551,688 pemegang lesen telah tamat tempoh kurang dari setahun; 219,092 antara setahun ke dua tahun dan 154,641 daripadanya hampir mencecah tempoh tiga tahun.

“Dalam takrifan kita, mereka yang memperbaharui lesen dikira masih aktif termasuk mereka yang masih belum memperbaharui sehingga tempoh tiga tahun.

“Justeru, mana-mana lesen yang tidak diperbaharui lebih daripada tiga tahun itu dikira tak aktif dan tidak layak mendapat subsidi Budi95.

“Apa yang saya nak tekankan di sini ialah, saya menasihatkan lebih 925,000 orang yang walaupun lesennya masih aktif tetapi tidak diperbaharui, supaya segera memperbaharui lesen terutama mereka yang mencapai hampir tiga tahun.

“Ada lebih 154,000 orang yang lesennya tak diperbaharui hampir tiga tahun, mereka ini nanti tidak layak dapat subsidi RON95 automatik, sebab apabila lesen tak sah, secara automatik akan disekat melalui sistem MOF,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan lesen memandu sejak pengumuman berkaitan Budi95, Isnin lalu.

Beliau berkata, pembaharuan itu dilakukan menerusi aplikasi MyJPJ, mySikap, kiosk atau mana-mana kaunter JPJ seluruh negara.

“Orang ramai diingatkan supaya menyemak tarikh tamat tempoh lesen masing-masing dan memperbaharui segera.

“Kini proses pembaharuan cukup mudah, malah menerusi aplikasi MyJPJ hanya mengambil masa kurang dua minit untuk diperbaharui,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan. Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 bermula tarikh sama.-25/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button