TAHUKAH ANDA

Anwar kesal Israel halang misi kemanusiaan ke Gaza

Tindakan Israel menghalang misi antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju Gaza tidak boleh diterima, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menyuarakan sokongannya terhadap GSF dengan harapan bantuan berkenaan dapat sampai kepada rakyat di Gaza.

“Saya sangat kesal dengan jenayah berterusan Israel dan kita telah menyokong Flotilla kerana ini usaha murni bantuan kemanusiaan.

“Wajarkah penghantaran ubat-ubatan dan makanan bayi kepada mereka yang kelaparan dan menderita dihalang?.

“Jelas Israel bertindak mengenakan halangan ini dan kita mengecam sekeras-kerasnya,” katanya dalam sidang media bersama media Malaysia selepas lawatan rasmi dua hari beliau ke Timor Leste.

Terdahulu hari ini, GSF memaklumkan mereka mendengar bunyi letupan dan melihat objek tidak dikenali yang dijatuhkan berhampiran kapal mereka semasa menuju ke kawasan konflik di Gaza.

Menurut GSF, letupan itu berlaku kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan.

Inisiatif kemanusiaan yang bertujuan untuk menembusi sekatan Gaza itu turut menyatakan komunikasi mereka diganggu.

Dalam kemas kini sebelum ini, GSF memaklumkan lebih 15 dron berada di udara pada ketinggian rendah di atas kapal mereka, Alma selama beberapa jam dengan muncul setiap 10 minit sekali.

Sementara itu, Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein yang memaklumkan kepada Buletin Utama, berkata dron itu berhenti mengikuti mereka sekitar jam 3.30 pagi.

“Kami tidak tidur. Semua berada dalam keadaan bersedia dan bergilir-gilir. Kadang-kadang pada selang setengah jam atau 15 minit, kami terdengar bunyi lain atau melihat cahaya seakan kilat di situ,” katanya kepada TV3.

Katanya, daripada sembilan kapal yang diserang, tiga daripadanya membabitkan sukarelawan Nusantara.

Serangan itu berlaku sebelum konvoi memasuki zon kuning dalam perjalanan menuju pantai Gaza.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman, berkata pihaknya tidak bersetuju untuk menghantar bantuan melalui Pelabuhan Ashdod.

“Dalam misi lain sebelum ini, mereka menawarkan perkara yang sama tetapi kami tidak pernah menerimanya, kerana kami tidak melanggar sebarang undang-undang antarabangsa dengan memasuki perairan Gaza,” katanya.

Semalam, konvoi GSF dilaporkan berada pada hari kelima fasa kedua pelayaran mereka menuju Gaza sebelum memasuki zon kuning yang berada kira-kira 300 kilometer (KM) dari pantai Gaza.

GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan, dijadual tiba di perairan Gaza menjelang akhir bulan ini.

Sukarelawan Malaysia dalam GSF berada di bawah Sumud Nusantara yang diketuai oleh Muhammad Nadir.-25/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button