YANG VIRAL

Perang teknologi bukan bom tapi manipulasi maklumat – MCMC

Negara perlu menerima hakikat getir bahawa ancaman terbesar yang perlu dihadapi kini bukanlah dari senjata perang atau bom sebaliknya kawalan maklumat yang menggugat keselamatan siber.

Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Derek Fernandez berkata sekiranya seseorang dapat mengawal maklumat yang mempengaruhi minda orang ramai, ia akan mengaktifkan keputusan yang akan diambil mereka.

“Ini termasuk mencetuskan peperangan, rusuhan, mencederakan seseorang, bunuh diri, malah menekan klik sehingga mangsa tertipu.

“Bayangkan betapa menariknya kuasa itu.. anda boleh faham mengapa keupayaan untuk mengawal pemikiran ini sangat penting bagi ramai orang,” katanya.

Jelas Fernandez, pada awalnya ia mungkin kelihatan tidak merbahaya kerana digunakan untuk tujuan pengiklanan, jualan, sosial dan teknologi namun sebaik sasaran dicapai, tanpa disedari dengan ‘alat’ yang betul, ia mampu membuat orang ramai menuruti kehendak penyangak siber. Di sini pendigitalan bukan saja berjaya mendukung malah meningkatkan kadar jenayah.

“Ia sangat mudah. Kenapa? kerana jenayah hari ini boleh dijalankan tanpa berada di negara jenayah itu dilakukan. Mereka dapat melakukannya dari jauh, secara anonim dan terlindung daripada penguatkuasaan undang-undang.

“Oleh kerana itu kerajaan telah melihat semula cara untuk membendung jenayah ini dan menyedari bahawa kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi walaupun pelbagai sistem pertahanan dibangunkan.

“Perang teknologi ini bukan saja melibatkan kos malah amat meletihkan. Namun kita masih boleh membendung dan mengurangkan risikonya dan paling utama punya kemahuan kuat untuk membanterasnya,” katanya sambil mengakui menjadi tanggungjawab kerajaan untuk untuk melindungi rakyat dan tetamu di negara ini daripada segala ancaman, termasuk keselamatan siber.

Fernandez berkata demikian ketika membentangkan analisisnya yang bertajuk The Regulator’s Role in Supporting Cybersecurity bersempena Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Asean Edition) 2025 di sini, hari ini.

Analisis tersebut antara lain menyentuh peranan Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) dan infrastruktur yang mendukung mereka serta elemen-elemen penting dalam jenayah scam.

Elemen itu termasuk individu yang melakukan penipuan atau scammer sentiasa cuba menyembunyikan identiti; perlu mempunyai akses komunikasi atau fasiliti jaringan untuk melakukan penipuan dalam talian; memerlukan akses kepada sistem kewangan dan perbankan dan elemen paling sulit adalah maklumat-maklumat bersasar yang dicuri scammer menggunakan malware atau ransomware.

Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Asean Edition) 2025 berlangsung pada 23 dan 24 September membawa tema Forging Asean’s Digital Future: Technology for Trust and Transformation yang menekankan peranan Malaysia dalam perjalanan digital bersama Asean.

Sidang kemuncak dua hari yang dirasmikan Timbalan Menteri Komunukasi, Teo Nie Ching semalam itu, antara lain memberi tumpuan kepada aspek kepercayaan, AI, inovasi industri dan keselamatan siber yang membentuk masa depan digital di rantau ini.-25/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button