
Potongan daging dipercayai babi dihantar ke masjid-masjid di Singapura
Polis meningkatkan rondaan di masjid dan memantau rapi keadaan selepas beberapa rumah ibadat Islam di negara itu menerima bungkusan potongan daging dipercayai babi, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura K. Shanmugam.
Beliau berkata siasatan sedang dijalankan dan sesiapa yang bertanggungjawab akan diambil tindakan tegas.
“Saya tidak mahu membuat spekulasi. Kita tidak tahu siapa yang melakukannya, kita tidak tahu apa motifnya, tetapi setakat ini siri kejadian ini kelihatan hanya menyasarkan masjid… potongan daging dihantar.
“Kami akan melakukan apa sahaja yang mampu untuk memastikan rumah ibadat kekal selamat,” katanya kepada media selepas melawat Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North pada Khamis.
Rakaman temu bual itu dimuat naik di halaman YouTube CNA.
Beliau menegaskan bahawa menyasarkan rumah ibadat adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima dan Singapura mempunyai toleransi sifar terhadap tindakan sedemikian.
Shanmugam yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara berkata dalam kejadian terbaharu pada Rabu, sebuah bungkusan berisi sekeping daging, yang pada awalnya kelihatan seperti daging babi, dihantar ke Masjid Al-Istiqamah.
Kejadian itu menyebabkan masjid berkenaan dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Seorang wanita yang bersentuhan dengan bungkusan itu jatuh sakit dan dihantar ke hospital, namun telah dibenarkan keluar.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) segera bertindak balas, dan HazMat kemudian mengesahkan tiada bahan berbahaya ditemukan.
“Kami sedang memeriksa jenis daging berkenaan. Apa pun jenisnya, jelas ia bersifat provokatif apabila dihantar ke masjid atau rumah ibadat lain dengan cara ini.
“Tetapi jika ia daging babi dan dihantar ke masjid, anda boleh bayangkan implikasinya lebih buruk,” katanya.
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkata solat harian telah disambung semula di Masjid Al-Istiqamah.
“Keselamatan semua yang hadir tetap menjadi keutamaan kami. Pihak masjid akan terus berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan persekitaran yang selamat,” menurut hantaran MUIS di Facebook pada Khamis.
Pemangku Menteri yang Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menggesa semua pihak agar bertenang, sentiasa berwaspada dan tidak menyebarkan maklumat salah.
“Pagi ini, saya bersama jemaah menunaikan solat Subuh di masjid yang telah kembali beroperasi seperti biasa. Saya memberi jaminan kepada jemaah bahawa MUIS dan pihak masjid bersedia menyokong kakitangan serta jemaah,” katanya dalam hantaran di Facebook.-26/9/2025



