
Borneo Fashion Week 2025 tampil dengan tema ‘Fashion With Purpose’
Borneo Fashion Week (BFW) 2025 kembali dengan menampilkan lebih 22 pereka fesyen tempatan dan antarabangsa dalam edisi terbaru yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Oktober di Pavilion Damansara Heights.
Diasaskan oleh Stephanie Alcantara, BFW tahun ini mengetengahkan tema Fashion With Purpose, yang menekankan kelestarian fesyen sambil mengangkat warisan budaya Borneo ke pentas global.
Menurut Stephanie, setiap pereka perlu mempersembahkan sekurang-kurangnya satu rekaan berkonsepkan lestari, termasuk penggunaan fabrik kitar semula, bahan mesra alam atau bahan alternatif yang jarang digunakan dalam penghasilan busana.
“Contohnya, pakaian itu boleh menggunakan bahan yang boleh dikitar semula atau dihasilkan daripada barangan yang jarang difikirkan sebagai material fesyen.
“Kita mahu menampilkan kreativiti melalui pendekatan unik seperti ini,” katanya pada sidang media Borneo Fashion Week 2025 di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, BFW turut memberi fokus kepada fabrik tradisional dari Sarawak dan Sabah yang akan digabungkan dengan sentuhan moden untuk kegunaan harian mahupun acara rasmi.
“Tahun ini, fokus diberikan kepada penggunaan kain tradisional dari Malaysia Timur seperti pua kumbu.
“Ramai orang di Semenanjung kurang mengenali pua kumbu, sedangkan ia merupakan kain yang sering digunakan oleh masyarakat di Sarawak,” menurut Stephanie.
Tambahnya, pereka diberi kebebasan untuk menzahirkan kreativiti mereka dengan mengolah kain tradisional tersebut menjadi busana moden yang boleh digayakan di pelbagai majlis.
BWF 2025 dijangka disertai pereka tempatan dan antarabangsa termasuk Vietnam, Singapura dan Brunei.-26/9/2025