YANG VIRAL

Peguam bangkitkan isu hina mahkamah terhadap Shafie Apdal sekali lagi

Isu kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sekali lagi dibangkitkan dalam prosiding pengurusan kes membabitkan kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada Khamis.

Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang tertuduh kanak-kanak, memaklumkan bahawa pihaknya memohon kepada mahkamah supaya mempertimbangkan isu dakwaan penghinaan mahkamah susulan kenyataan Shafie yang tular dalam satu video sebelum ini.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, meminta supaya menunggu tindakan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang telah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Shafie.

“Kita sudah kemukakan permohonan menghina mahkamah, dan ia turut disokong oleh wakil Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Namun, mahkamah meminta kita menunggu tindakan AGC,” kata Ram selepas prosiding.

Sebelum ini, video ucapan Shafie yang tular menunjukkan beliau menyifatkan kematian Zara Qairina sebagai satu “kes pembunuhan” dan mempersoalkan proses inkues yang sedang dijalankan.

Kenyataan itu mengundang perhatian mahkamah apabila ia dianggap boleh menjejaskan prosiding yang masih berlangsung.

Menurut Ram, AGC telah memberikan tempoh seminggu kepada Shafie untuk menjawab notis tunjuk sebab berhubung kenyataannya. Katanya, sebarang keputusan lanjut sama ada untuk mengemukakan permohonan rasmi penghinaan mahkamah bergantung kepada hasil tindakan AGC.

Sementara itu, mahkamah turut mengekalkan ‘gag order’ yang melarang semua pihak mengulas lanjut berhubung perbicaraan membabitkan kanak-kanak bawah umur.

“Selain apa yang berlaku di mahkamah hari ini, kami tidak boleh ulas lebih daripada itu,” jelas Ram.

Pada 20 Ogos lalu, lima remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak atas pertuduhan mencela arwah Zara Qairina sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus dalam prosiding tertutup.-26/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button