
Malaysia gesa laluan selamat untuk Flotila Sumud Global
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaharu yang mengancam keselamatan Flotila Sumud Global (GSF) pada Selasa, dan menggesa agar laluan selamat tanpa halangan diberikan kepada peserta serta kapal misi itu bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Kementerian Luar berkata Malaysia menegaskan semula bahawa GSF, sebagai misi kemanusiaan aman untuk menghantar bantuan ke Gaza, adalah sah di sisi undang-undang dan sangat penting dari segi moral berikutan genosid serta kebuluran yang sedang berlaku di wilayah Palestin.
“Malaysia menggesa ancaman keganasan itu dihentikan serta-merta, dan laluan selamat tanpa halangan bagi para peserta Flotila serta kapal mereka dijamin,” kata kenyataan itu.
GSF yang sedang belayar merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.
Misi bersejarah itu melibatkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 rakyat Malaysia, yang menyertai hampir 70 buah kapal dengan matlamat memecahkan sekatan ke atas Gaza.
Sementara itu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa kesemua 34 rakyat Malaysia yang menyertai flotila dilaporkan berada dalam keadaan selamat.-26/9/2025