
24 jam yang getir untuk flotila bantuan ke Gaza – Menteri Komunikasi
Apa-apa saja boleh jadi dalam masa 24 jam ini… sehingga berita ini ditulis flotila bantuan global kini berada kurang 400 batu nautika dari Semenanjung Gaza dan dijangka tiba esok.
Gabungan itu dalam kenyataan di X berkata flotila Global Sumud (FSG) semakin hampir dengan misi menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dikepung itu.
Jurucakap armada Maghreb, Wael Naouar, menjangka kapal tiba pada 30 September atau 1 Oktober, bergantung pada keadaan cuaca.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia merupakan masa yang kritikal dan dalam tempoh sehari dua ini dan kebanyakan kapal akan memasuki Zon Kuning, yang terletak kira-kira 300 batu nautika dari Gaza.
“Ini adalah saat kritikal kerana kemungkinan dipintas oleh Israel sangat tinggi. Jika tiada gangguan dalam beberapa hari mendatang, kebanyakan daripada 47 kapal itu akan meneruskan perjalanan ke Zon Merah.

“Mengikut sejarah, setiap flotilla yang cuba memasuki zon ini telah dipintas. Namun, memandangkan insiden baru-baru ini di Tunisia dan gangguan lain, kita juga mesti menjangka kemungkinan insiden berlaku di zon kuning,” katanya.
Fahmi berkata demikian selepas mendengar taklimat dari Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim mengenai status 47 buah kapal, termasuk 34 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal berbeza dalam misi berkenaan.
Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini.
Ia disertai sukarelawan negara selain Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Flotila itu terdiri kira-kira 50 kapal berlepas awal bulan ini dengan tujuan memecahkan sekatan Israel dan menghantar bekalan perubatan ke Gaza.
Rakaman video aktivis di X menunjukkan kapal tentera laut Greece berundur selepas mengiringi konvoi di perairan antarabangsa, manakala tentera laut Itali dan Sepanyol kekal memberikan perlindungan.
Rata-rata aktivis FSG di media sosial berkata ketika ini satu-satunya penghalang antara mereka dan gaza hanyalah laut.
Sejak 2 Mac lalu, Israel menutup sepenuhnya lintasan ke Gaza, menghadkan kemasukan bantuan dan menyebabkan krisis kebuluran yang semakin meruncing.-29/9/2025