
Kempen Tahun Melawat Melaka 2.0 lebih menarik
Melaka bakal melancarkan Kempen Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0), 31 Disember ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagi tahun ketiga kempen TMM akan tampil lebih meriah berbanding sebelum ini.
“Penganjuran kali ini dijangka mengatasi kemeriahan tahun sebelumnya, selaras aspirasi kerajaan negeri menjadikan Melaka destinasi pelancongan pilihan di rantau ini.
“Kalau tahun lalu sambutan TMM cukup meriah, kali ini pastinya lebih hebat. Kita tunggu hari pelancaran rasmi TMM 2.0 hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai pengisian sedang diatur bagi menggamit kehadiran lebih ramai pelancong pada 2026.
“Hujung tahun ini Melaka akan meneruskan kampen Tahun Melawat Melaka 2.0 pada 31 Disember sebagai pemulaan kampen tahun ketiga. Pelbagai pengisian sedang diatur dengan lebih rancak, lebih menarik dan lebih menyerlah bagi menggamit lebih ramai pelancong pada tahun 2026. Ia pasti lebih meriah, lebih hebat berbanding tahun lepas,” ujarnya ketika ditemui pada Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di Bandar Hilir.
Lebih 800 produk pelancongan ditawarkan kepada pelancong dalam dan luar negara termasuk program Melaka Bila Larut Malam dengan bayaran serendah RM10 untuk setiap lokasi pelancongan, permainan tradisional seperti dam aji dan konda-kondi, Melaka Eco Cruise, Zon Bebas Kenderaan (Car-Free Zone) serta inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) dengan 1,400 sukarelawan terlatih sebagai barisan hadapan membantu pelancong.
Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Tiong King Sing berkata, perpaduan rakyat di negara ini berjaya membantu usaha kerajaan menganjurkan program terbesar dunia.
Ia terbukti dengan kejayaan penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 ini serta Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang malam tadi.
“Kita juga pamerkan kepada seluruh dunia kita boleh lakukan lebih baik berbanding negara lain jika semua pihak bersatu. Dengan perpaduan kita boleh menganjurkan program bukan hanya diperingkat tempatan, malah di peringkat dunia,” katanya.-29/9/2025