
PANAS…Wan Saiful dakwa video 2019 yang kaitkan Azmin adalah tulen
Parti BERSATU hari ini bergear dengan kontroversi terbaru yang hangat apabila Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Datuk Wan Saiful Wan Jan secara terbuka mempersoalkan kredibiliti Datuk Seri Azmin Ali menjadi Setiausaha Agung parti itu atas dakwaan beliau terpalit dengan isu video intim yang tular pada tahun 2019.
Bercakap dalam sidang akhbar di Petaling Jaya bersama beberapa orang pemimpin Bersatu…beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa isu video yang dikaitkan dengan Azmin belum beres.
Sidang akhbar itu asalnya adalah mengenai dakwaan cubaan menjatuhkan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi akuan bersumpah (SD) yang jadi isu hangat sejak perhimpunan agung tahunan parti itu di Shah Alam pada 6 dan 7 September baru ini.

Atas sebab itu Wan Saiful menegaskan Azmin tidak layak untuk menjadi pemimpin BERSATU.
Pada tahun 2019 berlegar video dua lelaki dalam keadaan intim di sebuah hotel di Sandakan.
Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dibuat daripada video itu kerana pakar forensik Amerika Syarikat gagal mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.
Semasa kehangatan isu itu Azmin menafikan sekeras-kerasnya beliau adalah individu dalam video berkenaan.
Dakwaya pendedahan itu adalah komplot yang dirancang untuk merosakkan reputasi serta kerjaya politiknya.
Wan Saiful mendakwa asalnya beliau menerima perlantikan Azmin sebagai Setiausaha Agung BERSATU.
Namun pendirian itu berubah apabila sebaik sahaja selepas konvesyen parti tahun lepas beliau menerima maklumat baru mendakwa siasatan forensik terhadap video melibatkan Azmin di Sandakan adalah tulen.
“Ini mengubah pendirian saya terhadap Azmin dan saya menyuarakan pandangan kepada beberapa pihak bahawa selagi isu video ini tidak diselesaikan, Azmin tidak sesuai untuk menjadi pemimpin BERSATU,” katanya.
Menurut Wan Saiful, maklumat yang diterimanya itu membuatkan dirinya menjauhi Azmin dan menyebabkan hubungan beliau dengan Setiausaha Agung BERSATU itu “kejap panas, kejap sejuk” sejak tahun lalu.
“Saya berpandangan kalau ia fitnah politik, ya, kita mesti pertahan dan lawan… tetapi kalau ia isu moral yang menyimpang, maka ia tidak sesuai untuk parti seperti BERSATU.
“Parti lain mungkin boleh terima tetapi bukan BERSATU,” katanya.
Sementara itu Ketua BERSATU Tasek Gelugor, Azmi Alang dalam satu kenyataan pada Isnin malam gesa parti memecat keangotaan Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Katanya BERSATU tidak boleh berdiam diri serta membiarkan individu seperti Wan Saiful terus merosakkan imej parti, selain tindakan wajar diambil demi menjaga integriti, disiplin dan maruah perjuangan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar dakwa tindakan Wan Saiful jelas menunjukkan beliau lebih mementingkan publisiti berbanding memperjuangkan nasib rakyat, selain tingkah lakunya hanya menjadi beban kepada parti, mengalihkan perhatian daripada isu rakyat yang jauh lebih penting.
“Demi kelangsungan parti dan keyakinan rakyat, tindakan tegas termasuk pemecatan adalah satu-satunya jalan keluar. Rakyat sedang menilai. Jika kita gagal bertindak, BERSATU akan dilihat lemah dan berkompromi dengan kelakuan tidak bermoral yang merosakkan perjuangan.
“Kita mesti berani membuat keputusan tepat, walaupun pahit. Pemimpin gagal menunjukkan akhlak, disiplin dan kesetiaan kepada perjuangan bukan hanya melemahkan semangat akar umbi, malah memberi peluru kepada pihak lawan untuk menyerang kita.
“Sebagai wakil rakyat, beliau seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat, membawa hujah berasaskan fakta dan penyelesaian, bukannya mengulang retorik murahan demi kepentingan peribadi,”katanya.
– 29/9/2025