SUARA PEMBACA

BUDI95: Rakyat sambut baik, transaksi cepat dan lancar

Selepas anggota tentera, polis dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40 menjadi golongan terawal menikmati subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95), hari ini 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat sama.

Orang ramai yang teruja dengan harga petrol RM1.99 seliter berkongsi pelbagai reaksi dengan sebahagian besar menyambut baik langkah kerajaan itu dan merakamkan penghargaan atas bantuan istimewa berkenaan.

Di KEDAH, tinjauan Bernama di stesen minyak di Kota Sarang Semut, Alor Setar mendapati pengguna hadir seawal 6.30 pagi untuk mengisi minyak, bagi mengelak kesesakan dan memudahkan urusan dengan petugas ketika pelanggan masih sedikit.

Petugas di stesen minyak kelihatan turut membantu pelanggan membuat transaksi sama ada di pam minyak atau kaunter, menggunakan kad pengenalan dengan cepat dan lancar.

Seorang pesara Azemi Ahmad, 63, dari Kampung Jawa, dekat sini berkata pelaksanaan BUDI95 amat wajar kerana hanya rakyat yang layak dapat membeli minyak pada kadar lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.

“Cara transaksi pun okey, guna kad pengenalan cepat tak ada masalah. Hari ini saya isi RM30 tapi banyak lebih, jadi memang bagus bantu rakyat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Di SELANGOR, seorang pekerja syarikat p-hailing Syafik Judin, 32, berpendapat sistem BUDI95 berjalan lancar dan sangat mudah untuk dikendalikan dengan bantuan tutorial di media sosial.

“Tidak begitu kekok kerana banyak video menunjukkan kaedah menggunakan sistem BUDI95. Tambahan pula orang sekeliling bercerita tentang pengalaman masing-masing ketika kali pertama menebus subsidi petrol daripada kerajaan.

“Untuk jangka masa panjang, sistem ini dapat mengekang masalah ketirisan subsidi petrol kepada warga asing. Syabas Kerajaan MADANI kerana berjaya mewujudkan mekanisme yang berkesan,” katanya.

Seorang jurutera Nadhirah Mokhtaruddin, 32, berkata walaupun tidak mahir menggunakan sistem BUDI95 buat kali pertama, namun dengan bantuan pekerja stesen minyak, urusan dapat diselesaikan segera.

Sementara itu, Penyelia Petron Setia Alam Mohd Syazwan Mohd Hairi berkata setakat 9 pagi ini, keadaan di stesen minyak kendaliannya berjalan lancar walaupun terdapat sedikit gangguan teknikal pada tengah malam tadi berikutan sistem yang agak sibuk.

Di PUTRAJAYA, R. Asha, 40, berkata inisiatif BUDI95 memberi manfaat terutama kepada rakyat Malaysia yang kali pertama menikmati kemudahan subsidi petrol secara bersasar.

“BUDI95 ini bermanfaat dan mudah digunakan, saya gembira dengan perkhidmatan ditawarkan,” katanya.

Abdul Rahim Idris, 63, pula mengaku sedikit “panik” apabila harga tertera di pam minyak tidak memaparkan kadar subsidi meskipun kad pengenalan sudah disahkan.

“Apapun BUDI95 memang memberi manfaat kerana kalau ikut harga pasaran memang menangis. Cuma kad pengenalan pun ada masa susah nak baca, jadi perlu dipertingkatkan supaya lebih pantas,” katanya.

Bagi remaja berusia 21 tahun dikenali sebagai Yong pula berkata dengan subsidi itu memudahkan golongan muda sepertinya mengurus perbelanjaan harian.

Di JOHOR, warga emas, Lee Abdul Rahman, 61, berkata dia telah mengemas kini aplikasi di telefon bimbitnya sejak awal pagi sebelum ke stesen minyak untuk menikmati BUDI95, namun mengakui agak kekok kerana kali pertama menggunakannya.

“Apabila sampai di stesen minyak terpaksa juga minta bantuan petugas, biasalah mula-mula…untuk berniaga setiap hari, saya menggunakan petrol bagi kegunaan kenderaan menghantar barang dan sebagainya. Dengan adanya BUDI95 ini, lega sikit,” katanya.

Sementara itu, bagi pesara Marzuki Abdullah, 62, yang menggunakan bayaran secara tunai turut mengakui BUDI95 ini dapat membantu meringankan bebannya sekeluarga dan boleh menggunakan lebihan untuk membeli keperluan lain.

“Saya terbiasa mengisi minyak dengan harga RM50 setiap kali, tetapi dengan harga berkenaan…saya diberitahu bermula hari ini ada lebihan liter jadi tidak perlu lebih kerap untuk mengisi minyak selain saya akan menggunakan lebihan itu untuk membeli barang lain atau bayaran bil dan sebagainya,” katanya.

Di MELAKA, pengusaha ladang buah tin, Bakhtiar Aliff Ibrahim, 40, berkata pemberian BUDI95 dapat mengurangkan perbelanjaan petrol sekitar 20 ke 25 peratus sebulan.

Ketika ditemui di Stesen Minyak Petronas Lebuh Ayer Keroh di sini, Bakhtiar Aliff yang tinggal di Shah Alam, Selangor berkata dia berulang-alik sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi meninjau ladang buah tinnya yang terletak di Selandar, Jasin.

Di TERENGGANU, seorang penjawat awam yang berulang-alik dari Kampung Bukit, Setiu ke tempat kerja di Kuala Terengganu dengan jarak perjalanan kira-kira 100 kilometer (km) setiap hari menjangkakan dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan sebanyak RM100 melalui inisiatif BUDI95.

Khairul Syahril Othman, 44, yang bekerja sebagai Penghulu di Pejabat Daerah Kuala Terengganu berkata dia terkejut apabila mendapat lebih banyak kuantiti petrol apabila mengisi sebanyak RM20 pada hari ini, berbanding sebelum ini bagi kereta Perodua Viva miliknya.

“Saya berulang pergi dan balik antara Setiu dan Kuala Terengganu kira-kira 100km setiap hari sama ada menaiki motosikal atau kereta Perodua Viva ini. Tadi saya isi minyak kereta sebanyak RM20 tetapi saya dapat lebihan minyak bernilai RM6.

Bagi pekerja stesen minyak Mohd Harris Che Mukhtar, 29, insiatif BUDI95 memberi peluang kepadanya membawa isteri dan tiga anaknya berumur lapan hingga lima tahun, bercuti dengan penjimatan yang diperoleh setiap bulan.

Di PAHANG, kerani bank Hisyam Mahmud, 45, berkata pemberian subsidi sebanyak 300 liter sebulan amat membantu rakyat, namun berharap jumlah itu wajar dikaji semula agar dapat ditambah pada masa akan datang.

Sementara itu, pekerja swasta Amisah Taborek, 42, bersyukur dengan inisiatif berkenaan yang dapat mengurangkan bebannya ketika berdepan kenaikan harga barang.

Di PULAU PINANG, Nurul Huda Abu Bakar, 40, yang bekerja sendiri berkata proses mengisi minyak berjalan lancar dan langkah kerajaan mewajibkan pengguna mengimbas kad pengenalan sebelum mengisi minyak adalah tepat kerana dapat menutup ruang warga asing menikmati subsidi.

“Sekarang nak isi minyak kena bagi kad pengenalan dan ini yang kita mahukan kerana subsidi diperuntukkan kerajaan hanya untuk rakyat sahaja, orang luar iaitu warga asing tidak boleh dapat atau menikmati subsidi kita dan saya rasa ini antara sistem terbaik oleh kerajaan,” katanya.

Seorang pesara Ariffin Osman, 61, berkata proses mengisi minyak dengan menggunakan aplikasi syarikat minyak sangat mudah dan cepat dengan tidak sampai seminit bagi urusan pembayaran.

Sementara itu di PERAK, seorang peguam Arthur Yeong, 64, berkata penebusan subsidi RON95 yang dibuat hari ini mudah dan hanya mengambil masa yang singkat selain benar-benar menunjukkan penjimatan harga.

“Memang terdapat perbezaan harga dulu RM2.05 dan kini hanya RM1.99 kerana sebelum ini saya selalu isi penuh lebih kurang RM80 sebelum ini lebih RM100,” katanya.

Seorang penjawat awam Mohd Wazir Ramli, 44, pula berkata dia tidak berdepan masalah semasa mengisi minyak hari ini, walaupun sering kali mendengar aduan bahawa pelaksanaan ini menyukarkan bagi mereka yang tidak tahu menggunakan teknologi.

Selain itu, suri rumah Surina Bakawi, 53, berkata penggunaan kad pengenalan lebih memudahkan dan orang ramai tidak perlu bimbang.

Di PERLIS, tinjauan Bernama di sebuah stesen minyak di Kangar mendapati kebanyakan pengguna sudah terbiasa dan tidak kekok menggunakan kad pengenalan untuk mengisi petrol di stesen minyak.

Seorang pesara tentera, Muhammad Aswad Idris, 39, berpandangan pelaksanaan inisiatif BUDI95 itu wajar selain dapat membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah di samping menangani ketirisan minyak subsidi negara.

Seorang suri rumah, Rosmawati P. Ramli, 49, berkata dia berpuas hati dengan kelancaran sistem BUDI95 dan urusan mengisi petrol juga mudah.

Di Kuching, SARAWAK, pekerja kantin Sekolah Kebangsaan Gersik Rozilawati Abdul Rani, 45, memuji inisiatif Kerajaan MADANI itu kerana bukan sahaja memastikan rakyat menikmati harga petrol pada kadar sama, malah dapat mengelakkan ketirisan subsidi daripada disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Bagi Mohammad Shahrul Affendy, 20, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Samarahan 1 berkata dengan BUDI95, dia memperoleh penjimatan antara RM5 hingga RM6 sebulan yang boleh digunakan untuk keperluan lain.

Di SABAH, pekerja swasta Lailawati Ramlee, 40, berkata pelaksanaan BUDI95 membuatkannya rasa istimewa sebagai rakyat Malaysia kerana dapat menikmati subsidi RON95 di kala negara lain menaikkan harga bahan api itu.

Bagi kerani Majlis Perbandaran Penampang Rchmond Bryan Kimpong, 30, inisiatif BUDI95 dapat membezakan rakyat Malaysia dan warga asing, yang kini tidak lagi boleh menikmati subsidi RON95.

Pemotong rumput warga Indonesia, Sidas Ladati, 50, berkata dia tidak dapat menikmati harga subsidi minyak dan membeli minyak pada harga pasaran iaitu RM2.60.

“Rakyat di negara ini harus bersyukur kerana mempunyai kelebihan untuk menikmati subsidi minyak,” katanya.

Di KELANTAN, Ahmad Fauzi, 42, seorang peniaga kecil di Tumpat berkata BUDI95 sangat membantu peniaga kecil sepertinya, terutama ketika harga bahan api meningkat dan kos operasi semakin tinggi.

“Setiap sen yang dapat dijimatkan memberi impak besar kepada perniagaan harian saya dan ini juga membantu memastikan saya dapat terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan tanpa gangguan,” katanya.

Hafizul Hakim, 35, seorang guru di Kota Bharu, berkata pelaksanaan BUDI95 membantunya mengatur perbelanjaan bulanan sekali gus mengurangkan tekanan kewangan, dan pada masa sama dia dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas mengajar serta menjaga keluarga.

Di NEGERI SEMBILAN pula, Muhammad Daniel, 23, seorang tukang masak di Singapura menyifatkan rakyat Malaysia bertuah kerana kerajaan tidak membiarkan rakyat menanggung harga minyak yang tinggi seperti di negara lain.

“Saya pun baru tahu hari ini dapat harga subsidi, sangat murah berbanding petrol di Singapura lebih kurang SGD 2.88 (RM9.40),” katanya.

Mohd Fauzi B Mohd Sapore, 40, turut bersyukur dengan harga petrol RM1.99 seliter itu kerana dapat mengurangkan beban kewangannya yang berulang-alik dari Seremban ke Rawang, Selangor hampir lima tahun.-30/9/2025 BERNAMA

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button