
Kedutaan Amerika enggan terima memorandum… demo lagi lepas solat Jumaat ini
Satu lagi siri demontrasi di depan Kedutaan Amerika akan diadakan selepas solat Jumaat hari ini berikutan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) enggan menerima memorandum peserta demontrasi semalam.
Hasrat peserta Perhimpunan Aman Sumud Flotila di ibu negara hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi mendesak sekutunya, Israel membebaskan tahanan peserta Global Solidarity Flotilla (GSF) tidak kesampaian apabila ia ditolak.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim yang menjadi wakil menyerahkan memorandum itu berkata, tiada pegawai kedutaan yang keluar bagi menerima dokumen berkenaan.
Menurut Muhammad Kamil, pihak kedutaan memberi alasan enggan menerima atas faktor keselamatan.

“Kita tinggalkan di meja pengawal kerana peringkat awal kita telah dimaklumkan, namun mereka menolak disebabkan isu keselamatan.
“Cuma saya nak sebut di sini bahawa yang datang ke kedutaan hari ini bukannya tentera Israel yang tidak ada moral, tidak ada nilai dan tidak tahu adab.
“Kita warganegara Malaysia datang berkumpul dengan aman bagi menyatakan rasa dukacita dan ketidakpuasan hati kita,” katanya.
Antara yang turut serta ialah bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan menghantar semula memorandum itu kepada pihak kedutaan selepas solat Jumaat hari ini.
Beliau menjelaskan, memorandum berkenaan mengandungi tiga tuntutan utama iaitu mendesak pembebasan segera semua peserta GSF, menjamin keselamatan mereka, serta membantah campur tangan luar dalam usaha pembinaan semula Gaza.

“Kita bantah cadangan Washington baru-baru ini berkaitan dengan pembangunan Gaza kerana ia seolah-olah tidak melibatkan pihak berkuasa tempatan atau penduduk Palestin sendiri.
“Ia seolah-olah pihak luar yang menentukan hala tuju pembangunan Gaza, sedangkan ia bercanggah dengan hasrat serta keinginan rakyat Palestin,” katanya.
GSF yang digerakkan oleh aktivis antarabangsa bertujuan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menuntut penamatan sekatan Israel.
Bagaimanapun, beberapa peserta flotila termasuk 23 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan pihak berkuasa Israel sejak minggu lalu, sekali gus mencetuskan bantahan masyarakat antarabangsa termasuk di Malaysia.-3/10/2025