
RUU PSB: UMNO mahu tambahbaik dulu baru bentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua…
Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) 2025 yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu depan besar kemungkinan ‘akan sangkut’ sementara waktu.
Ini kerana UMNO berpendirian RUU itu harus dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen untuk tujuan ditambah baik sebelum ia dibentangkan.
RUU PSB itu asalnya dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama pada 21 Ogos lalu.
Pada 18 Sept lalu, Menteri Perumahan dan kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberitahu pihaknya menjangkakan RUU tersebut akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 6 Oktober ini.
RUU berkenaan kebelakangan ini berdepan polimek kerana didakwa tidak lengkap dan perlu ditambahbaik khususnya untuk jamin kepentingan orang Melayu di bandar.
Pada Jumaat UMNO telah anjur konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bagi membincangkan dan membuat rumusan bagi penambahbaikan RUU berkenaan.
Konvensyen berkenaan menyesyorkan tiga resolusi utama termasuk 14 cadangan khusus bagi memastikan pembangunan semula bandar tidak menjejaskan hak pemilik hartanah dan kepentingan rakyat.
Resolusi pertama konvensyen menuntut kerajaan menangguhkan pembentangan RUU sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
Kerajaan disyor mempertimbangkan 14 cadangan khusus bagi menutup kelemahan akta, termasuk mekanisme pampasan adil, penetapan nilai ambang persetujuan, memastikan kredibiliti pemaju dan langkah menyelamatkan projek terbengkalai serta bangunan tidak selamat.
Resolusi kedua pula menggesa kerajaan melaksanakan kajian menyeluruh sementara menunggu RUU digubal semula.
Resolusi ketiga mengusulkan penubuhan sebuah agensi kerajaan ditubuhkan untuk mengawal selia sebarang usaha perancangan pembangunan semula bandar, penjanaan sumber bandar dan penyenggaraan semula bandar supaya lebih teratur serta mampu menyelesaikan pertikaian antara pemilik, penduduk dan pemaju.
Ketua Pasukan Khas UMNO untuk Rang Undang-Undang (RUU) PSB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani beritahu dalam sidang akhbar konvensyen mahu kerajaan dapat merungkai segala kegusaran, ketakutan dan ketidakyakinan rakyat terhadap kelompongan dalam RUU PSB.
Justeru, beliau berharap kerajaan menangguhkan pembentangan RUU berkenaan sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira 14 cadangan diutarakan.
“Ya (Umno akan minta RUU PSB 2025) dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen (sebelum diluluskan di Dewan Rakyat).
“Kita sudah memperoleh pelbagai dapatan susulan penganjuran Konvensyen PSB.
“Dapatan ini akan dibincangkan bersama Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk meneliti bagaimana kita boleh mengolah pandangan masyarakat (mengenai RUU PSB 2025).
“Sebagai (wakil rakyat) blok kerajaan, kita tak boleh bergaduh sesama sendiri dan saya pun seorang menteri. Justeru, kita akan bawa RUU ini dan berbincang dengan Ahmad Zahid.
“Beliau akhirnya akan memaklumkan kepada Perdana Menteri,” katanya.
Konvensyen berkenaan turut dihadiri Ahmad Zahid, Setiausaha Agung, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.- 3/10/2025