FOKUS

PM kata Türkiye setuju bawa keluar 23 peserta Malaysia misi GSF dari Israel…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menyampaikan khabar yang pasti mengembirakan peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan di Ashdod selepas dipintas oleh tentera Israel semalam.

Katanya semua 23 peserta Malaysia itu dijangka keluar menerusi satu pesawat dari Israel, bersama-sama aktivis Turkiye yang turut ditahan.

Beliau yang ditemui media selepas solat Jumaat di Pantai Dalam,Kuala Lumpur kata usaha berkenaan dijangka ambil masa satu atau dua hari.

Menurut Perdana Menteri kerajaan sedang melaksana usaha bersungguh-sungguh untuk mambawa keluar semua aktivis negara yang menyertai misi itu.

Anwar berkata beliau sudah menyampaikan permintaan itu kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan dan pemimpin dunia Islam itu turut bersetuju.

“Saya sudah minta jasa baik Erdogan untuk bawa (aktivis Malaysia keluar) ke mana-mana sempadan (dengan Israel) dan bawa ke Istanbul, dari Istanbul kita bawa pulang,” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby kata Perdana Menteri sewaktu hubungi beliau pagi tadi beritahu kerajaan sudah melaksanakan rundingan diplomatik secara maksimum bagi proses membebaskan 23 peserta dalam misi GSF yang ditahan Israel, termasuk menghubungi pemimpin dari Turkiye, Qatar dan Amerika Syarikat (AS).

“Negosiasi diplomatik beliau dengan negara besar seperti Presiden Turkiye (Recep Tayyip Erdogan), Qatar dan menghubungi Setiausaha AS (Marco Rubio) sudah dibuat dan sedang digerakkan maksimum untuk delegasi Malaysia dibebaskan,” katanya melalui kenyataan.

GSF mengesahkan lebih 450 aktivis dari 47 negara telah dipindahkan ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.

Aktivis di atas kapal yang diserang oleh Israel terdiri daripada pelbagai warganegara, termasuk Sepanyol, Itali, Brazil, Turkiye, Greece, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Britain, Malaysia, Perancis serta ramai lagi.

Kementerian Luar Israel dalam kenyataan berkata, aktivis yang ditahan sedang dibawa ke Pelabuhan Ashdod sebelum dideportasi ke Eropah.

Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk selama hampir 18 tahun dan memperketatkan lagi sekatan pada Mac lalu apabila menutup lintasan sempadan serta menghalang penghantaran makanan dan ubat-ubatan, menyebabkan wilayah itu terjerumus ke dalam kebuluran.

Sejak Oktober 2023, pengeboman Israel telah meragut nyawa lebih 66,200 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia berulang kali memberi amaran bahawa wilayah itu sedang menjadi kawasan tidak boleh didiami, dengan kebuluran dan penyakit merebak pantas.-3/10/2025

Global Sumud Flotilla (GSF) : Semua 23 peserta Malaysia selamat…akan dihantar pulang melalui negara ketiga….

Dicelah pelbagai kebimbangan ekoran tindakan tentera Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF) di laut dekat perairan Gaza pagi Khamis…khabar terbaru yang diterima ialah kesemua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel berada dalam keadaan selamat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sebelah petang mengesahkan rejim Israel telah menahan semua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF untuk pecah kepungan di laut bagi menghantar bantuan ke Gaza.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan kemudian mengesahkan, pihaknya telah menerima perkembangan bahawa kesemua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Katanya semua rakyat Malaysia yang berkenaan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Dalam usaha menjayakan urusan berkenaan kenyataan itu berkata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah memberi arahan jelas kepada Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah untuk mendapatkan kerjasama segera daripada kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.

Langkah diplomatik ini, menurut kementerian itu adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan Malaysia untuk memastikan keselamatan serta pembebasan segera kesemua peserta flotilla, termasuk 23 rakyat Malaysia yang kini berada dalam tahanan Israel.

Tambahnya, Perdana Menteri bersama Mohamad turut berhubung dengan beberapa pemimpin dan rakan sejawat negara sahabat, termasuk dari Amerika Syarikat, bagi mendapatkan sokongan mereka.

Anwar memberitahu, beliau telah menghubungi rakan sejawat dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

“Sejak saya memperoleh maklumat tentang penahanan 23 anak-anak Malaysia di atas kapal Sumud Flotilla bersama rakan-rakan lain dari seluruh dunia, saya terus menghubungi Perdana Menteri Qatar, Presiden Turkiye dan petang ini, saya akan (menghubungi) Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

“Menteri Luar akan menghubungi beberapa rakan lain, termasuk Setiausaha Amerika Syarikat untuk meminta mereka campur tangan bagi memastikan kebebasan semua yang ditahan oleh rejim Israel,” katanya

Dalam pada itu Kementerian Luar menegaskan Malaysia berpendirian bahawa penahanan peserta flotilla itu adalah tidak sah, malah menuntut agar mereka dilayan mengikut undang-undang antarabangsa dan dibebaskan segera.

“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat di luar negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencabulan hak asasi,” katanya.- 2/10/2025

BERITA SEBELUM INI …Dari 23 rakyat Malaysia…12 ditahan Israel…5 putus hubungan

Sehingga tengahari Khamis disahkan bahawa dari kesemua 23 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) seramai 12 orang telah ditahan oleh Israel.

Mereka ialah Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta Zizi Kirana di kapal Huga.

Selain itu, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi berada di kapal Sirius, manakala, Danish, Farah Lee di kapal Grande Blu serta penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.

Dari pemantauan di paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) lima lagi dilaporkan terputus hubungan.

Anaranya pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang berada di kapal Estrella serta Ardell yang menaiki kapal Mikeno.

SNCC pada Khamis jam 2.03 pagi Khamis waktu Malaysia, mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.

Israel secara keseluruhan setakat ini telah menahan lebih 200 sukarelawan dari 37 negara yang menyertai pelayaran misi kemanusiaan GSF ke Gaza.

Semuanya sekitar 500 orang menyertai misi GSF itu.

Aljazeera melaporkan, jurucakap GSF, Saif Abukeshek mengesahkan perkara itu sambil menambah tentera rejim bertindak sedemikian selepas memintas 13 kapal di perairan antarabangsa.

Katanya, terdapat lebih 201 sukarelawan dari 37 negara di dalam kapal berkenaan yang ditahan, termasuk 30 peserta dari Sepanyol; 22 orang dari Itali, Turkiye 21 orang dan 12 lagi rakyat Malaysia.

-12.18 .tengahari …2/10/2025

Sah… Zizi Kirana antara lapan rakyat Malaysia ditahan Israel

Zizi Kirana antara lapan aktivis dari Malaysia yang ditahan secara tidak sah oleh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa, setakat 6 pagi ini.

Selebriti itu ditahan bersama-sama peserta lain menaiki kapal Huga dalam misi Global Sumud Flotilla menuju ke Gaza, yang bertujuan memecah sekatan Zionis.

Menerusi hantaran di Facebook Sumud Nusantara, pihak berkuasa negara haram itu turut menahan kapal Sirius yang membawa empat delegasi Malaysia iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairuddin dan Rusydi Ramli.

Manakala tiga lagi diculik melibatkan Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil menaiki kapal Alma.

Hantaran sama menyaksikan video rakaman aktivis yang dicekup merayu bantuan bagi memastikan pembebasan mereka dapat disegerakan.

Misi flotila antarabangsa itu mula memasuki zon merah peringkat ketiga awal pagi ini sebelum dipintas oleh tentera laut Zionis.

Setakat ini, sembilan kapal telah diceroboh dan 13 telah dipintas pihak pertahanan rejim Israel.

Perkembangan terkini misi dilaporkan secara langsung oleh Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dari Sepang, Selangor.

Seramai 23 aktivis Malaysia berada dalam misi pelayaran berkenaan.-2/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button