
Ini kenyataan DBKL berkaitan bangunan 60 tingkat di Bukit Damansara
Tak sampai 24 jam selepas di demo oleh penduduk-penduduk Bukit Damansara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya tampil dengan kenyataan rasmi dua muka surat mengenai apa sebenarnya yang berlaku.
Sebelum itu, penduduk Bukit Damansara yang diketuai Khairy Jamaluddin mengadakan demontrasi aman meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif memberi penjelasan mengapa Bukit Damansara bukan lagi kawasan larangan pembangunan pencakar langit.
Menurut kenyataan DBKL, pihaknya belum membuat keputusan muktamad berkaitan dengan permohonan cadangan pembinaan bangunan setinggi 60 tingkat di kawasan Bukit Damansara.
Sebaliknya, DBKL masih lagi dalam peringkat memproses permohonan ini.

Jelasnya, DBKL telah menerima permohonan bagi cadangan pelan susun atur untuk cadangan perdagangan di atas tiga lot tanah yang berkeluasan 7.98 ekar.
Jelas DBKL, Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang telah diwartakan pada 28 Mei 2025 telah menetapkan kriteria yang boleh dipertimbangkan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal perancangan dan pelawaan pandangan awam mengikut Kaedah 3, iaitu, pemberitahuan mendapatkan pandangan.
“Cadangan sesuatu pemajuan juga masih lagi tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal seperti Traffic Impact Assessment (TIA), Geoteknik, Environmental Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan lain-lain aspek teknikal yang berkaitan.
“Selain itu, pematuhan terhadap ulasan dan syarat yang dikemukakan oleh agensi teknikal lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan agensi berkaitan lain juga perlu dipatuhi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, sebarang keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas proses libat urus dan penelitian teknikal yang komprehensif dilaksanakan.
Malah, DBKL menegaskan setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada dan pelan pembangunan yang diwartakan.
DBKL, tambahnya, komited memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dilakukan secara teratur, mampan serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.
Sebelum itu, menurut Khairy, perkara itu timbul apabila DBKL didakwa mengeluarkan peta baharu hingga membenarkan bangunan pencakar langit dibina di kawasan itu.

“Dulu saya pun ada tanah dekat sini, tapi sudah dijual, bila saya nak bangunkan, saya diberitahu kawasan ini ada had ketinggian, kerana ada Istana Negara, jiran kita adalah Yang di-Pertuan Agong.
“Tetapi peta baharu dikeluarkan DBKL dengan ajaib, saya tak pasti macam mana boleh berlaku, keseluruhan baris ini (Jalan Semantan) sudah tiada dalam kawasan had ketinggian.
“Keseluruhan baris ini di sebelah kiri Jalan Semantan, ada Wisma Damansara yang dulunya pejabat MIDA dan bangunan lama termasuk CIMB, semua itu berada di bawah kawasan had ketinggian.
“Kita tak boleh bina bangunan pencakar langit, tapi bawah peta baharu, kawasan tidak lagi kawasan larangan dibangunkan pencakar langit,” ujar Khairy Jamaluddin.-6/10/2025