SUARA PEMBACA

Hamas gesa segerakan pertukaran tahanan, tebusan

Hamas menggesa agar proses pertukaran tahanan dan tebusan dengan Israel disegerakan, ketika pasukan perunding dari kedua-dua pihak akan mengadakan pertemuan di Mesir pada bila-bila masa bagi proses menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza.

Desakan menyusul selepas maklum balas positif daripada Hamas terhadap pelan damai yang dikemukakan oleh Donald Trump, yang menggariskan langkah bagi menamatkan pertempuran serta membebaskan tebusan di Gaza sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin di penjara Israel.

Presiden Amerika Syarikat itu turut menggesa Israel dan Hamas “bertindak pantas”.

“Terdapat perbincangan yang amat positif dengan Hamas serta negara-negara dari seluruh dunia (Arab, Islam dan lain-lain) pada hujung minggu ini, bagi membebaskan tebusan, menamatkan perang di Gaza dan yang lebih penting, mencapai keamanan yang telah lama diidamkan di Asia Barat,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social.

“Saya dimaklumkan bahawa fasa pertama sepatutnya dapat diselesaikan minggu ini, dan saya meminta semua pihak supaya bertindak pantas,” tambahnya.

Menteri luar beberapa negara, termasuk Mesir, menyifatkan rundingan di Sharm El-Sheikh sebagai “peluang sebenar” untuk mencapai gencatan senjata berkekalan.

Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP bahawa pihaknya “amat komited untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan perang dan segera memulakan proses pertukaran tahanan mengikut situasi semasa.

Ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya, tiba di Mesir lewat malam tadi, menurut kenyataan Hamas.

White House memaklumkan Trump turut menghantar dua utusan ke Mesir iaitu menantunya, Jared Kushner, serta perunding Asia Barat, Steve Witkoff.

Menurut pelan Trump, sebagai pertukaran kepada pembebasan tebusan, Israel dijangka melepaskan 250 tahanan Palestin yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup serta lebih 1,700 tahanan dari Gaza yang ditahan sepanjang perang,

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, turut menggesa Israel supaya menghentikan serangan ke atas Gaza menjelang rundingan di Mesir.

Bagaimanapun, Israel dilaporkan masih meneruskan serangan.

Rakaman AFP menunjukkan asap tebal menyelubungi ruang udara Gaza semalam.

Agensi pertahanan awam Gaza, yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas, melaporkan serangan berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk 13 di Gaza City.-6/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button