
Seludup petrol ke Thailand… untung RM3 seliter
Tahukah anda… siasatan yang dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendedahkan penyeludup petrol ke negara Thailand meraih keuntungan kira-kira RM3 seliter.
Pengarahnya, Azman Ismail, berkata keuntungan lumayan itu antara faktor utama kegiatan penyeludupan terus berlaku walaupun kawalan ketat sentiasa dipertingkat.
Menurutnya, tinjauan pihaknya di selatan Thailand baru-baru ini mendapati harga petrol RM5.60 seliter di negara berkenaan jauh, lebih mahal berbanding Malaysia.
“Harga yang jauh lebih mahal itu menyebabkan mereka memilih petrol dari Malaysia. Permintaan tinggi itu menggalakkan kegiatan penyeludupan untuk terus berlaku.
“Bayangkan setiap satu liter mereka untung RM3 dengan menyeludup petrol RON95 tanpa subsidi iaitu RM2.60 satu liter.
“Untuk satu tong 30 liter yang diseludup, mereka untung RM90. Disebabkan itu walaupun mereka tidak dapat membeli dengan harga subsidi RM1.99 pun tidak mengapa kerana harga RM2.60 masih lagi dianggap murah berbanding petrol di Thailand,” terangnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Rahmah Madani di Kampung Pantai Mek Mas pada 6 Oktober.
Mengulas lanjut, Azman berkata pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan dan risikan bagi mengekang kegiatan penyeludupan petrol ke negara jiran.
“Kita mungkin tidak mampu mengawal sepenuhnya dengan keadaan sempadan yang terbuka namun sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kegiatan berkenaan,” katanya.
Pada masa sama Azman berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pihak di sempadan yang sanggup memberikan dokumen pengenalan diri kepada kumpulan penyeludup demi mendapatkan harga petrol subsidi.
Media sebelum ini melaporkan, bekalan minyak masak peket dan petrol subsidi di selatan Thailand termasuk di pekan Sungai Golok tidak pernah terputus selain boleh diperoleh dengan jumlah yang banyak tanpa had.
Keadaan itu sekali gus menyaksikan penyeludupan membabitkan barangan bersubsidi itu sentiasa berlaku walaupun kawalan di sempadan sentiasa dipertingkat.
Situasi itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan Malaysia khususnya membabitkan minyak masak apabila had pembelian dua peket setiap orang.-7/10/2025