FOKUS

Lagi…pasal arak…CEO Petronas buat kenyataan mohon maaf

Ada kalanya dicelah kegairahan orang boleh lupa sengaja atau tidak sengaja ‘terjebak’ langgar pantang larang agama dan sensitiviti masyarakat.

Baru saja riuh polimek pasal isu hidangan minuman keras yang berlaku di majlis makan malam agensi kerajaan, Tourism Malaysia pada 1 Oktober…kali ini melibatkan orang nombor satu syarikat minyak negara Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.

Kalau acara Tourism Malaysia berlaku dalam negara, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas didakwa terlibat dalam upacara berunsur minuman keras yakni “Champagne Shower” di atas podium Formula 1 Singapore Grand Prix 2025 pada 5 Oktober.

Insiden itu berlaku ketika George Russell dari pasukan Mercedes AMG Petronas F1 Team diumumkan sebagai pemenang dan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik mewakili Petronas untuk menerima trofi kemenangan.

Video acara di Singapura itu dimana beliau kelihatan menyembur dan disembur arak diatas pentas utama sambil memakai baju rasmi Petronas dianggap tidak wajar.

Ini kerana perbuatan itu dianggap seolah menormalisasi penggunaan arak dalam acara rasmi atau melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Penerangan ARMADA, Harris Idaham Rashid dalam satu kenyataan berkata ,“Sebagai pemimpin korporat Melayu Islam yang mewakili Petronas, beliau sepatutnya meninggalkan podium ketika acara semburan champagne berlangsung dan kembali semula selepas itu untuk bergambar bersama pemenang.

Untuk rekod…acara “Champagne Shower” di atas podium sudah menjadi kebiasaan meraikan pemenang pada kejohanan Grand Prix di serata dunia sejak sekian lama.

ARMADA turut menzahirkan kebanggaan terhadap kejayaan pasukan yang ditaja oleh Petronas dalam Formula 1, namun menegaskan bahawa penglibatan dalam aktiviti semburan arak mencemarkan imej negara Islam seperti Malaysia, lebih-lebih lagi apabila beberapa negara Islam lain seperti Bahrain, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu juga terlibat dalam perlumbaan Formula 1.

ARMADA menyeru Perdana Menteri agar mengeluarkan amaran tegas kepada semua kementerian, agensi kerajaan, GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya menjaga maruah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu dalam satu kenyataan Selasa malam,Tengku Muhammad Taufik memohon maaf kerana terlibat dalam sambutan champagne shower di Grand Prix Singapura itu.

Beliau menjelaskan, kejadian itu berlaku secara spontan akibat sangat teruja meraikan kemenangan pasukan Mercedes- AMG PETRONAS Formula One pada musim ini.

Katanya beliau berada di situ bukan atas kapasiti peribadi sebaliknya mewakili syarikat minyak dan gas negara, Petronas.

“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur bahawa saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.

“Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya,” katanya.- 7/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button