
BN Sabah tampil muka baharu jadi calon PRN…
Barisan Nasional (BN) Sabah bakal menampilkan 81 peratus calon muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabah (PRN17) akan datang, dengan 50 peratus daripadanya melibatkan penyertaan golongan anak muda.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, strategi angka itu adalah usaha memperkukuh imej BN Sabah sebagai wadah politik yang lebih segar dan progresif dalam mendepani aspirasi rakyat negeri ini.
“Untuk 81 peratus itu tadi melibatkan anak muda itu berapa? Anak muda 50 peratus. Ada, belum diputuskan tapi memang ada. Pemuda ada, wanita ada 30 peratus. Kami mencadangkan 48 tempat.
“Cuma saya ingin jelaskan bahawa PRN Sabah kali ini memang dinamik dan kedinamikanya ini akan mencetuskan mungkin sedikit komplikasi. Jadi kita tunggu keadaan, kalau keadaan terpaksa bermakna kita lakukan apa yang terbaik untuk parti,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat BN Sabah pertama selepas pembubaran DUN Sabah, di Bangunan UMNO Sabah, di Kota Kinabalu.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah berkata, BN mencadangkan untuk bertanding di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ujarnya rundingan pembahagian kerusi antara BN dengan rakan komponen termasuk Pakatan Harapan (PH) kini berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan, rundingan antara parti dalam kerajaan Madani itu sedang diperhalusi, termasuk pengagihan kerusi yang melibatkan parti komponen seperti MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), selain memastikan keseimbangan calon mengikut jantina serta perwakilan kaum.
Katanya, BN Sabah memberi tumpuan kepada pemilihan calon yang berwibawa, setia dan tidak mudah goyah walaupun berada dalam tekanan politik.
Fokus itu bagi mengelak berulangnya situasi lompat parti seperti yang pernah berlaku selepas PRN lalu.
“Kita akan membuat beberapa perjanjian dengan calon-calon dan saya cukup yakin calon-calon kali ini kita pilih mereka yang ada kesetiaan dalam parti yang kita lihat selama ini. Dalam pembangkang pun mereka tidak goyang, jadi saya yakinlah bukan macam calon-calon yang dulu yang menjadi pengkhianat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa BN Sabah kekal mempunyai autonomi penuh dalam menentukan hala tuju politik di negeri ini, selaras dengan peranan parti itu sebagai entiti tempatan yang bekerjasama rapat dengan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Kita parti UMNO yang full 100% ada autonomi, bukan parti Malaya ya. Hopefully they support us because we are supporting them in federal. Sebab kami tolong UMNO bantu dia di federal 30 kerusi. Betul ke tidak? GRS baru 6 kerusi. Dia fikir lah mana satu besar mana satu kecil,” katanya.-14/10/2025