TAHUKAH ANDA

Senarai sembilan barang mentah yang dikawal harga sempena Deepavali

Tahukah anda… Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 bermula Khamis ini.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia bakal membabitkan sembilan jenis barangan harga terkawal sepanjang tempoh tujuh hari sehingga 22 Oktober ini.

Katanya, pelaksanaan skim bertujuan memastikan kestabilan harga dan mengelakkan sebarang kenaikan tidak munasabah oleh peniaga.

Barangan tersebut adalah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India jenis ROS, bawang merah besar import, kacang dal Australia, kelapa biji (peringkat borong) dan kelapa parut (peringkat runcit).

“Tahun ini, kita menambah satu lagi barangan iaitu bawang merah kecil India, menjadikan keseluruhan sembilan jenis barangan tersenarai di bawah SHMMP Deepavali 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.

Baca artikel lain: Hannah ucap tahniah kepada Putera Adam, bukti anak Malaysia mampu bersaing di peringkat tertinggi

Armizan berkata semua barangan terbabit akan dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna membuat semakan, selain maklumat lengkap turut dipaparkan menerusi laman web rasmi KPDN, www.kpdn.gov.my.

Beliau berkata skim itu turut mengambil kira libat urus bersama pemain industri bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan operasi perniagaan.

“Kita mahu jaminan bahawa pengguna dapat menikmati harga terkawal yang telah ditetapkan kerajaan. Jika peniaga boleh menjual lebih rendah daripada harga maksimum, itu lebih baik, namun mereka tidak dibenarkan melebihi harga siling yang ditetapkan,” katanya lagi.

Menurut beliau, KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan.-14/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button