
Kementerian Komunikasi perkasa Tabung Kasih@HAWANA, sasar bantu 300 penerima tahun ini
Peruntukan keseluruhan Tabung Kasih@HAWANA berjumlah hampir 1 juta ringgit untuk tahun ini berjaya diagihkan sekali gus hampir mencapai sasaran tahunan sebanyak 300 penerima.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata seramai 275 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat dengan jumlah sumbangan keseluruhan melebihi 830,000 ringgit tahun ini.
Beliau menyatakan sejak diperkenal pada 2023, seramai 532 pengamal media telah dibantu dengan jumlah sumbangan melebihi 1.53 juta ringgit setakat hari ini.
“Daripada keseluruhan penerima, seramai 74 adalah pengamal media Tamil dengan sumbangan melebihi 220,000 ringgit.”
“Bagi tahun 2025, setakat hari ini seramai 44 pengamal media Tamil telah menerima manfaat melibatkan sumbangan 132,000 ringgit,“ katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA Sempena Sambutan Deepavali 2025 di Wisma Bernama.
Teo berharap agar Tabung Kasih@HAWANA terus diperkasa dan peruntukannya dapat ditambah dari semasa ke semasa.
“Kepada rakan-rakan media yang memerlukan bantuan atau mengenali seseorang yang memerlukan, bolehlah membuat permohonan melalui urus setia Tabung Kasih@HAWANA atau menghubungi pejabat saya.”
“Kami bersedia membantu kerana inisiatif ini membuktikan komitmen Kementerian Komunikasi untuk menjaga kebajikan rakan-rakan media dan memastikan tiada siapa yang terpinggir,“ katanya.
Beliau berkata penganjuran julung kali itu sempena sambutan Deepavali oleh Bernama dengan kerjasama pejabat beliau wajar diteruskan.
“Tahniah kepada Bernama atas inisiatif yang amat bermakna ini… usaha seperti ini wajar diteruskan bagi menghargai jasa dan sumbangan para pengamal media yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat tanpa mengira masa dan keadaan,“ katanya.-14/10/2025