SUARA PEMBACA

Malaysia ulangi pendirian tegas sokongan bersyarat demi keadilan Palestin

Malaysia menyambut baik Pelan Damai dan Perjanjian Gencatan Senjata Fasa Pertama antara Hamas dan Israel yang dimeterai pada 9 Oktober 2025, namun menegaskan sokongan itu bersyarat dan berlandaskan prinsip keadilan terhadap rakyat Palestin.

Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataan memaklumkan bahawa Malaysia mengambil pendirian berhati-hati terhadap pelan tersebut dan menganggap ia langkah awal ke arah menamatkan pembunuhan puluhan ribu rakyat Palestin, kebuluran serta kemusnahan akibat perang Israel di Gaza.

Menurut kenyataan itu, Malaysia turut menjelaskan kedudukannya selepas menerima pertanyaan media berhubung penyertaan negara dalam Persidangan Antarabangsa Keamanan di Sharm el-Sheikh, Mesir semalam.

“Sebanyak 24 negara telah dijemput oleh penganjur bersama, Amerika Syarikat dan Mesir, berdasarkan sokongan penuh mereka terhadap pelan tersebut sejurus ia diumumkan pada 29 September lalu.

“Malaysia tidak mengambil pendirian sebegitu, atau menyokong Pelan Damai tersebut sepenuhnya secara serta-merta. Ini kerana kita menilai Pelan Damai tersebut turut perlu mengandungi prinsip-prinsip dan aspek-aspek yang sering kita tekankan selama ini berhubung kepentingan-kepentingan bagi rakyat Palestin,” katanya yang menjelaskan kedudukan Malaysia berhubung penyertaan negara dalam Persidangan Antarabangsa Keamanan di Sharm el-Sheikh, Mesir semalam (13 Oktober).

Tambah kenyataan itu, Pelan Damai itu termasuk jaminan perlindungan untuk rakyat Palestin, bantuan kemanusian segera kepada rakyat Palestin, penamatan pejajahan Israel di Palestin, serta penubuhan Negara Palestin yang merdeka.

“Aspek-aspek ini sangat penting untuk keamanan berpanjangan di rantau Asia Barat. Malaysia akan terus memperjuangkan aspek-aspek ini,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian turut menjelaskan bahawa Israel dan Hamas tidak menghadiri Persidangan Keamanan tersebut, walaupun menjadi dua pihak yang terkesan secara langsung dalam proses damai berkenaan.-14/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button