
Dari STR ke BUDI95: Kerajaan perkasa jaringan sosial untuk rakyat
Kerajaan sentiasa komited memperkasa jaringan sosial dan memastikan tiada rakyat, khususnya di bandar, terpinggir akibat peningkatan kos sara hidup.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai pakej bantuan komprehensif diperkenalkan selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI.
Antaranya termasuk peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pengawalan harga barang, dan penyasaran subsidi.
“Peruntukan STR dan SARA telah dinaikkan kepada RM15 bilion, berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya.
“Jumlah ini merangkumi tambahan RM2 bilion Penghargaan SARA secara ‘one-off’ yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 23 Julai 2025,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Selain itu, RM1 bilion diperuntukkan bagi menangani kos sara hidup secara meluas, termasuk pengawalan harga bahan asas seperti beras dan minyak masak.
Program seperti Payung RAHMAH disediakan peruntukan sebanyak RM600 juta bagi tahun 2025.
Program Jualan RAHMAH juga ditingkatkan dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dijangka memberi manfaat kepada semua golongan, termasuk penduduk bandar.
Kerajaan turut menyediakan peruntukan untuk subsidi bahan asas lain, termasuk subsidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS), subsidi elektrik, subsidi diesel bersasar, serta pemberian Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI untuk membantu menstabilkan harga barang.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 berjumlah RM791 juta disediakan kepada semua tanpa mengira golongan bagi meringankan beban penyediaan keperluan asas persekolahan anak-anak.
Inisiatif Pas Bulanan My50 turut diperkenalkan bagi meringankan beban kewangan kepada rakyat yang menggunakan pengangkutan awam.

Bermula 30 September lalu, kerajaan telah melaksanakan penyasaran subsidi RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“Melalui inisiatif ini, warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu yang sah boleh menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran tanpa subsidi yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter,” katanya.
Beliau menjawab soalan oleh Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) yang meminta kerajaan menyatakan bentuk sumbangan kewangan tambahan bagi mengatasi peningkatan kos sara hidup di bandar.
Jeck Seng turut mempersoalkan sama ada kerajaan akan mengkaji semula secara terperinci sasaran bantuan agar diselaraskan dengan kos kehidupan sebenar mengikut lokasi.-15/10/2025