
Kerajaan pacu capaian digital luar bandar melalui Inisiatif NOW
Capaian digital ke kawasan luar bandar, diperluas menerusi inisiatif NADI On Wheels, NOW.
Pelaksanaan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama uruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membolehkan komuniti tempatan memperoleh manfaat kemahiran digital dan keusahawanan dalam talian.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan kerajaan komited memperluas keterhubungan dan memperkasa komuniti luar bandar agar tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.
Pelancaran program di Sepitang telah dilengkapi peranti Starlink dengan kelajuan capaian hingga 250 megabit sesaat dan sejumlah tablet untuk kegunaan masyarakat setempat.
“Sehingga kini, terdapat 1,099 NADI di seluruh negara termasuk 131 di Sabah.
Walau bagaimanapun, komuniti yang paling banyak memperoleh manfaat merupakan mereka yang berada sekitar dua hingga tiga kilometer dari lokasi NADI”, katanya selepas merasmikan Hari bersama Komuniti dan Peluncuran NOW, peringkat Sabah.

Sementara itu, MCMC dalam kenyataan media selepas majlis tersebut berkata NADI on Wheels ialah pusat bergerak yang dilengkapi satelit Starlink berkelajuan hingga 250 Mbps, komputer riba, tablet, projektor, sistem tenaga solar dan Wi-Fi percuma yang direka untuk membawa teknologi dan perkhidmatan terus kepada rakyat, khususnya di kawasan sukar dicapai.
“Selain menyediakan akses digital, kenderaan NOW juga berperanan sebagai ruang interaktif untuk latihan komuniti, pembelajaran digital dan program Perkhidmatan Pintar NADI bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran setempat,” jelas MCMC.
NOW juga menyasarkan untuk menyantuni rumah anak yatim, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), masyarakat Orang Asli dan komuniti terpencil agar mereka turut dapat merasai kemajuan teknologi serta tidak ketinggalan dalam era pendigitalan negara.
MCMC turut memaklumkan kejayaan NADI Pulau Banggi diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila memenangi kategori “Capacity Building” di World Summit on the Information Society (WSIS) 2025 di Geneva, sekali gus mengangkat imej Malaysia sebagai negara proaktif dalam pembangunan digital komuniti.
HBK di NADI Sindumin turut menyaksikan pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Sipitang dan Beaufort serta penganjuran pameran keusahawanan komuniti, program kesedaran digital, pemeriksaan kesihatan percuma dan segmen bimbingan kerjaya yang dijayakan bersama PERKESO, MyFutureJobs dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).-15/10/2025