KEMBARA

Lonjakan kes influenza, pakar galak pakai pelitup muka

Musim cuti panjang ini menyebabkan orang ramai ambil kesempatan melawat tempat pelancongan… namun tahukan anda jangkitan virus influenza sedang melonjak tinggi di negara kita…?

Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan, termasuk memakai pelitup muka di kawasan sesak, susulan peningkatan kes influenza di seluruh negara.

Pakar Virologi Molekul Universiti Monash, Profesor Madya Dr Vinod Balasubramaniam berkata, rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati memandangkan penularan wabak itu kini banyak berlaku di sekolah.

“Malaysia sedang menyaksikan peningkatan kes yang berpusat di sekolah. Walaupun Kementerian Kesihatan memaklumkan keadaan masih terkawal, musim cuti dan aktiviti sosial berpotensi meningkatkan penularan.

“Virus ini merebak melalui udara pada jarak dekat serta menerusi tangan dan permukaan yang tercemar. Jika tidak sihat, duduklah di rumah, pakai pelitup muka di tempat sesak, pastikan pengudaraan baik dan amalkan kebersihan tangan,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times.

Beliau berkata, lonjakan jangkitan influenza dipengaruhi oleh peningkatan aktiviti sosial selepas pandemik, termasuk perjalanan, pelancongan dan sesi persekolahan bersemuka.

Menurutnya, kanak-kanak pula menjadi penyebar paling efisien kerana sistem imun mereka masih lemah.

“Virus Influenza A sub jenis H3N2 kini dominan di beberapa negara di Asia. Peningkatan kes di Malaysia mencerminkan trend serantau, bukan gelombang global,” katanya.

Pada masa sama, Dr Vinod menasihatkan pelajar dan guru yang tidak sihat supaya berehat di rumah sekurang-kurangnya 24 jam selepas bebas demam tanpa ubat bagi mengelak penularan di sekolah.

Katanya, kumpulan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan pesakit kronik perlu mendapatkan rawatan awal, manakala ubat antivirus paling berkesan jika diambil dalam tempoh 48 jam selepas simptom bermula.-21/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button