FOKUS

Hamzah mahu diketepikan dari dalam BERSATU… dedah Wan Fayhsal

Lagi pendedahan panas Ahli Parlimen Machang yang mendakwa ada pihak tertentu yang kurang senang dengan keberadaan Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam BERSATU sehingga wujud cubaan untuk mengetepikan timbalan presiden mereka itu.

Bercakap dalam program audio siar The Zaid Ibrahim Podcast,, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa pihak yang terbabit bersependapat bahawa Hamzah sedang membayangi kepimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata Wan Ahmad Fayhsal antara punca rasa kurang senang sesetengah pihak dalam Bersatu terhadap Datuk Hamzah ialah faktor beliau diterima baik oleh PAS untuk mengemudi Perikatan Nasional (PN) menghadapi pilihan raya akan datang.

Wan Ahmad Fayhsal yang sedang menjalani hukuman penggantungan keanggotaan oleh BERSATU mendakwa, cubaan mengetepikan Hamzah itu dibuat sejak Ahli Parlimen Larut itu berkhidmat sebagai setiausaha agung parti.

“Ada ketika hubungan Datuk Seri Hamzah dan presiden (Muhyiddin) agak renggang kerana (kehadiran) orang ketiga yang mencucuk, apabila beliau (Hamzah) lebih ke depan dan mendapat liputan.

“Ini kerana beliau hanya setiausaha agung yang dilantik, jadi, (sepatutnya) pandai-pandailah, jangan membayangi (presiden).

“Apabila nak ke depan, ada orang presiden tegur beliau balik. Ini masalah yang dihadapi beberapa tahun ini,” ceritanya.

Wan Ahmad Fayhsal merupakan seorang daripada beberapa pemimpin BERSATU yang dilihat tidak sehaluan dengan Muhyiddin dan berada bersama kelompok yang dekat dengan Hamzah.

Beliau juga semakin lantang bersuara sejak dikenakan hukuman penggantungan keanggotaan selama sepenggal. Selain Wan Ahmad Fayhsal, ada lima pemimpin BERSATU – termasuk seorang di peringkat pusat – dikenakan hukuman lebih berat iaitu dipecat.

Mereka ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang pernah diangkat menjadi Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, serta empat pemimpin di peringkat bahagian iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur); dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Mereka dihadapkan ke Lembaga Disiplin selepas kontroversi berhubung isu akuan berkanun (SD) yang didakwa dibuat bagi mendesak Muhyiddin berundur daripada memimpin parti itu serta digantikan oleh tokoh lain.

Dalam program audio siar itu, Wan Fayhsal bagaimanapun tidak menyatakan siapa orang ketiga yang didakwanya “mencucuk” kepimpinan BERSATU agar mengetepikan Hamzah.-22/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button