FOKUS

Kos tunai Haji kekal…

Di celah kebimbangan terhadap pelbagai kenaikan kos sudah tentu ramai tertanya tentang jumlah bayaran untuk tunai Haji pada musim ini.

Pokoknya…jangan bimbang.

Bakal jemaah boleh menarik nafas lega mendengar pengumuman yang dibuat menerusi satu kenyataan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) pada Rabu.

TH maklum kos dan bayaran haji bagi jemaah muassasah untuk musim haji 1447 Hijrah / 2026 Masihi tidak berubah dan sama seperti musim lalu.

Bagi kumpulan B40, kadar bayaran ditetapkan sebanyak RM15,000, manakala TH menanggung baki RM18,300, termasuk bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 seorang.

Manakala, kumpulan M40 perlu membayar RM23,500 dengan bantuan sebanyak RM9,800 dan kumpulan T20 menanggung bayaran penuh RM33,300.

Secara keseluruhan, TH dianggarkan menanggung RM210 juta bagi Bantuan Kewangan Haji musim akan datang.

Menurut TH, langkah pengekalan kos itu dicapai menerusi tempahan awal penginapan dan penerbangan, selain kontrak jangka panjang bagi melindungi jemaah daripada kesan inflasi di Makkah dan Madinah.

Surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah akan dikeluarkan secara berperingkat mulai 24 Oktober, manakala permohonan rayuan haji dibuka menerusi platform THiJARI bermula 3 November.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dalam kenyataan itu berkata TH berkeyakinan dapat terus memberikan tahap perkhidmatan yang cemerlang.

“Kami akan berusaha mengekalkan kualiti perkhidmatan tinggi yang sentiasa diharapkan oleh jemaah,” katanya.

Dalam masa sama, Abdul Rashid merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan berterusan terhadap usaha TH dalam memastikan kos haji kekal terkawal.

“Kami juga amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana mengekalkan bantuan RM1,000 bagi setiap jemaah B40,” tambahnya.- 22/10/205

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button