SUARA PEMBACA

MCMC bakal perketat pendaftaran kad SIM berbayar…

Bayangkan sekarang ini seseorang boleh mempunyai lima nombor daripada Maxis, lima daripada Celcom, lima daripada Digi, lima daripada U Mobile dan lima daripada YTL.

Ini menjadikan jumlah yang agak besar untuk satu individu.

Dewan Rakyat telah diberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal melaksanakan dasar baharu yang lebih ketat bagi pendaftaran kad SIM prabayar.

Ia mengenakan had maksimum hanya dua nombor untuk setiap pembekal perkhidmatan telekomunikasi (telco) bagi warganegara Malaysia.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang berkata langkah itu dijangka berkuat kuasa pada suku pertama tahun hadapan.

Menurutnya garis panduan semasa yang membenarkan sehingga lima nombor prabayar bagi setiap telco telah membuka ruang kepada penyalahgunaan.

“Ini bermaksud, seseorang boleh mempunyai lima nombor daripada Maxis, lima daripada Celcom, lima daripada Digi, lima daripada U Mobile dan lima daripada YTL, menjadikan jumlah yang agak besar untuk satu individu,” jelas Teo pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menekankan bahawa cadangan baharu itu, yang kini dalam peringkat siasatan awam, akan mengehadkan rakyat Malaysia kepada hanya dua nombor prabayar bagi setiap syarikat telco.

Manakala untuk warga asing, had yang lebih ketat dikenakan iaitu hanya dua nombor prabayar secara keseluruhan, tanpa mengira pembekal perkhidmatan.

“Dengan mengetatkan garis panduan ini, pihaknya berharap ia dapat mengurangkan penyalahgunaan kad sim prabayar yang sering digunakan untuk mendaftar akaun media sosial bagi tujuan penipuan, penyebaran maklumat palsu atau ugutan,” ujarnya lagi.

Siasatan awam berkenaan dijangka selesai pada hujung November ini.

“MCMC menyasarkan garis panduan baharu dapat dikuatkuasakan pada suku pertama tahun depan,” tambahnya.

Langkah proaktif ini diharap dapat membendung aktiviti jenayah siber yang semakin berleluasa.- 22/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button