FOKUS

Ini pandangan PM mengenai hukuman rotan di sekolah

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyuarakan pandangan beliau mengenai hukuman rotan di sekolah pada sidang Dewan Rakyat Khamis.

Ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) pada sesi pertanyaan Menteri…Perdana Menteri berkata beliau secara peribadi bersetuju amalan rotan dikembalikan tapi dengan syarat-syarat ketat.

Beliau berpendapat kelonggaran boleh diberikan kepada hukuman pada tangan.

“Pandangan peribadi saya, hukuman rotan harus dikembalikan tapi bukan diberi kelonggaran sepenuhnya, mungkin boleh rotan di tangan.

“Saya pernah jadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak saya dah rotan, tapi di tangan. Tentunya tidak teruk sangat, sehingga nampak seperti penderaan,” katanya.

Beliau menegaskan perkara itu sebagai satu pandangan bukan dasar kerajaan.

“Kalau dikembalikan hukuman rotan itu, ada syarat-syarat yang ketat dan perlu ditugaskan guru-guru tertentu, dilakukan di bilik khas iaitu bilik disiplin serta ditetapkan berapa jumlah maksimum rotan.

“Ada beberapa peraturan, jadi saya fikir, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang kerana kenakalan anak-anak adalah satu perkara biasa, namun jika melanggar peraturan secara berlebihan, tentunya perlu ada hukuman. Cuma ini sekadar pandangan dan bukan dasar kerajaan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus mempertimbangkan perkara tersebut.

Namun katanya, sesi libat urus dengan pelbagai pihak perlu dijalankan sebalum ketetapan dimuktamadkan.- 23/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button