
Pasport menantu Muhyiddin telah dibatalkan
Pasport milik menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, telah dibatalkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan, pembatalan dibuat susulan permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya difahamkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bahawa SPRM telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan pasport individu tersebut.
Tindakan itu telah pun dilaksanakan dan itu saya boleh sahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Datuk Seri Saifuddin turut menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen akan bekerjasama bagi membawa pulang Datuk Seri Muhammad Adlan, yang kini dipercayai berada di luar negara.
“Individu tersebut sememangnya dikehendaki SPRM bagi tujuan siasatan. Jadi, dua agensi bawah KDN iaitu PDRM dan JIM akan membantu untuk membawa pulang beliau dan itu menjadi keutamaan kami,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, pihak KDN juga akan meneliti bagaimana individu berkenaan masih boleh berada di luar negara walaupun pasportnya telah dibatalkan.
Datuk Seri Saifuddin turut mengesahkan bahawa, notis pemakluman kepada Interpol mengenai individu terbabit telah dibuat oleh SPRM.
Kenyataan itu menyusul selepas laporan media mendakwa menantu bekas perdana menteri itu kini berada di sebuah negara di Asia Barat, dipercayai bagi mengelak siasatan.-24/10/2025



