TAHUKAH ANDA

Banjir di Perak semakin buruk… 1,776 mangsa dipindahkan

Keadaan banjir di Perak terus memburuk apabila seramai 1,776 mangsa di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 pagi, Jumaat.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, sebanyak 23 PPS telah dibuka bagi menempatkan mangsa daripada 609 keluarga.

Daripada jumlah itu, 20 PPS dibuka di daerah LMS melibatkan 1,413 mangsa daripada 502 keluarga, manakala tiga PPS di Manjung menempatkan 363 mangsa daripada 107 keluarga.

JPBN menjangkakan jumlah mangsa akan terus meningkat memandangkan beberapa PPS masih belum merekodkan angka rasmi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir akan melanda kedua-dua daerah tersebut pada pagi dan petang Jumaat.

Met Malaysia turut menjangkakan ribut dan hujan di beberapa daerah lain di Perak pada waktu pagi dan petang, kecuali Kampar, Padang Batang dan Muallim.

Namun, ketiga-tiga daerah itu dijangka mengalami cuaca buruk pada sebelah petang dan malam.

Sementara itu, tujuh sungai di Kedah sudah melepasi tahap bahaya berikutan hujan berterusan hari ini.

Berdasarkan lama Info Public Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan semua sungai itu membabitkan daerah Sik, Yan, Baling, Pendang, Bandar Baharu.

Semua sungai berkenaan menunjukkan trend menaik.

Dalam pada itu, setakat ini berdasarkan tinjauan di media sosial mendapati beberapa kawasan di daerah di negeri ini seperti di Kodiang dan Changlun, Kubang Pasu, Kulim, Pendang dan Sik sudah dinaiki air.

Difahamkan, pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah sudah bersiap sedia dan melakukan pemantauan di lokasi yang dinaiki air.-24/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button