
Pasaran kurier Malaysia dijangka cecah RM6.9 bilion – Fahmi
Pasaran kurier Malaysia dijangka mencecah antara RM6.8 hingga RM6.9 bilion tahun ini, seiring peningkatan pesat sektor e-dagang dan penambahbaikan infrastruktur digital negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkembangan itu turut diperkukuh dengan pelancaran Bukit Raja Selatan (BRS) Sorting Centre, pusat pengisihan berteknologi tinggi terbaharu SPX Express di Selangor.
Menurut beliau, kemudahan berkeluasan lebih 30,000 meter persegi itu melibatkan pelaburan RM63.2 juta dan mempunyai keupayaan memproses sehingga dua juta bungkusan sehari, menjadikannya antara fasiliti terbesar di rantau ini.
“Fasiliti ini mampu mengasingkan antara 1.2 juta hingga 2 juta bungkusan sehari, khususnya pada waktu puncak. Ini bermakna, secara purata, fasiliti ini sahaja berpotensi menguruskan antara 400 hingga 500 juta bungkusan setahun, satu angka yang amat signifikan walaupun sebagai permulaan.”
“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, jumlah penghantaran bungkusan setiap bulan menunjukkan peningkatan yang amat ketara.
“Ini membuktikan keberkesanan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem e-dagang serta memperluas prasarana dan infrastruktur digital, selaras dengan kemajuan teknologi internet berkelajuan tinggi termasuk capaian 5G dan kini 5G Advanced,” kata Datuk Fahmi.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Pengisihan Bukit Raja Selatan (BRS), di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi memastikan industri kurier kekal mampan dan berdaya saing di era digital, selain memperkukuh aspek keselamatan penghantaran bungkusan.
Sementara itu, Ketua SPX, Cheah Lee Sun memaklumkan bahawa pusat berkenaan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan kecekapan operasi sehingga 2.2 kali ganda serta memperkukuh rangkaian penghantaran di seluruh negara.
Kemudahan itu juga dijangka mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan baharu, dengan 60 peratus tenaga kerja akan menerima latihan dalam bidang automasi dan teknologi logistik.
Langkah tersebut bukan sahaja memperkukuh ekonomi digital Malaysia, tetapi turut menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mewujudkan sistem penghantaran yang lebih cekap, inklusif dan mampan.-24/10/2025



