FOKUS

Kabinet buat keputusan isu hidang arak di dewan sekolah Cina yang disewa…garis panduan sekarang kekal

Kabinet pada Jumaat bincang mengenai isu penganjuran acara yang ada menyajikan minuman beralkohol di dewan sekolah Cina yang disewakan kepada orangramai.

Keputusan telah dibuat bahawa garis panduan serta amalan sedia ada adalah terpakai dan tidak ada perubahan.

Ini bermakna minuman beralkohol boleh terus dihidangkan apabila dewan di sekolah Cina disewakan kepada orang ramai untuk acara yang tidak melibatkan pelajar.

Hal ini telah diumumkan oleh jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi yakni Datuk Fahmi Fadzil semasa sidang media pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya pada sebelah petang.

Isu berkenaan jadi agak hangat bila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa beliau lebih berpendirian agar alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah.

Kenyataannya dibuat sebagai menjawab soalan tambahan ahli parlimen (PN-Pasir Mas) Ahmad Fadhli Shaari mengenai penghidangan alkohol pada perhimpunan alumni baru-baru ini yang diadakan di Institusi St Michael di Ipoh.

Anwar berkata prinsip melarang arak dan perjudian di kawasan sekolah boleh dikuatkuasakan di sekolah awam, namun mengakui bahawa kerajaan mempunyai kuasa terhad ke atas sekolah swasta.

Ini mendorong penasihat DAP Lim Guan Eng pertikai komentar Perdana Menteri.

Dakwanya kenyataan itu telah menyebabkan kekecewaan dalam kalangan rakyat Cina Malaysia, kerana langkah itu dilihat sebagai pencerobohan yang tidak perlu ke atas adat resam yang telah lama wujud.

Lim, yang merupakan Ahli Parlimen Bagan, menegaskan bahawa dewan komuniti Cina di sekolah vernakular, selama beberapa dekad, telah menganjurkan majlis perkahwinan, makan malam dan acara hiburan dengan alkohol secara tradisinya dihidangkan – semuanya diadakan di luar waktu sekolah dan tanpa penglibatan pelajar.

Fahmi juga beritahu Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan kenyataan terperinci tidak lama lagi bagi menjelaskan pelaksanaan garis panduaan ini – 24/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button