
Sidang Kemuncak ASEAN… simbol peranan aktif, kepimpinan Malaysia
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dilihat sebagai simbol peranan aktif serta kepimpinan Malaysia dalam membentuk masa depan ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.
Ia turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat tumpuan diplomasi antarabangsa apabila menghimpunkan pimpinan ASEAN bersama rakan dialog utama, tetamu pengerusi serta organisasi antarabangsa lain.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata hari ini menjadi permulaan kepada minggu diplomasi terbesar Malaysia tahun ini, sekali gus memperlihatkan keyakinan dunia terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta kredibiliti Malaysia sebagai sebuah negara yang berprinsip, progresif dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Anwar Ibrahim, hari ini.
Tambahnya, Perdana Menteri menerima lawatan rasmi Presiden Brazil dan Presiden Afrika Selatan di Putrajaya hari ini, yang menjadi pembuka tirai kepada rangkaian Sidang Kemuncak ASEAN dan sidang-sidang berkaitan.
Lawatan itu, katanya, memperkukuh jaringan hubungan luar Malaysia di Amerika Selatan dan Afrika, selain melambangkan kekuatan hubungan luar negara ini yang seimbang di rantau utama dunia.
“Ia turut menjadi asas kukuh bagi kesinambungan dasar luar Malaysia yang berpaksikan nilai kemanusiaan, perdagangan yang adil dan kerjasama Selatan–Selatan,” katanya.-25/10/2025



