TAHUKAH ANDA

PM Thailand batal ke Malaysia susulan kematian Permaisuri Sirikit

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul telah membatalkan lawatannya ke Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN di Malaysia susulan kemangkatan Permaisuri Sirikit, menurut jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat, pada Sabtu.

Kabinet dijadualkan bermesyuarat pada pagi Sabtu bagi membincangkan persiapan upacara pengebumian, lapor Reuters.

Bekas Permaisuri yang juga ibu kepada Raja Thailand, Vajiralongkorn, mangkat lewat malam Jumaat pada usia 93 tahun, menurut kenyataan istana.

Istana Diraja memaklumkan, keadaan kesihatan baginda semakin merosot sebelum mangkat pada pukul 9.21 malam di Hospital Chulalongkorn.

Sirikit dilaporkan menghidap beberapa penyakit sejak dimasukkan ke hospital pada 2019, termasuk jangkitan darah.

Raja Vajiralongkorn telah mengarahkan ahli keluarga diraja memulakan tempoh berkabung selama setahun.

Sepanjang 66 tahun perkahwinannya dengan Raja Bhumibol Adulyadej, Sirikit membina reputasi sebagai ikon fesyen dan figura penyayang.

Media Barat pernah menampilkan baginda di muka hadapan majalah dan membandingkannya dengan bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Jackie Kennedy.

Raja Bhumibol memerintah Thailand selama tujuh dekad, dari 1946 hingga 2016, dan dikenang sebagai tokoh penyatu negara.

Sirikit pula sering dianggap sebagai “Ibu Negara” kerana peranannya yang rapat dengan rakyat, termasuk lawatan ke kawasan luar bandar untuk meninjau kehidupan penduduk.

Hari lahir baginda turut diisytiharkan sebagai sambutan Hari Ibu di Thailand.

Walaupun tidak lagi muncul di khalayak ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat masalah kesihatan, nama Sirikit kekal dihormati dan disanjung tinggi dalam kalangan rakyat.

Mayat baginda akan disemadikan di Balai Dusit Thorne, Istana Diraja di Bangkok.-25/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button