FOKUS

Anwar, Trump saksi perjanjian damaikan Thailand, Kemboja

Thailand dan Kemboja hari ini menandatangani Perjanjian Damai KL (KL Peace Accord) sebagai menandakan langkah rasmi kedua-dua negara menamatkan pertelingkahan, serta memulihkan keamanan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian sebelum ini.

Perjanjian damai berkenaan ditandatangani Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, di luar acara Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Pemeteraian itu disaksikan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Asean dan Presiden AS, Donald Trump.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Luar Mohamad Hasan.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D Kagan turut menghadiri majlis itu.

Perjanjian Damai KL mengukuhkan persetujuan gencatan senjata yang dicapai Bangkok dan Phnom Penh pada Julai lalu susulan rundingan di antara kedua-dua kerajaan.

Ia turut mengesahkan penubuhan pasukan pemerhati Asean (AOT) bagi memantau pematuhan dan mencegah berlakunya semula pertempuran di zon sempadan.

Perjanjian damai berkenaan menandakan detik penting dalam diplomasi serantau Asean, mencerminkan komitmen blok serantau itu terhadap pencegahan konflik, kestabilan dan kerjasama selaras dengan tema Kepengerusian Asean 2025 oleh Malaysia iaitu Keterangkuman dan Kemampanan.

Thailand dan Kemboja telah lama terjebak dalam konflik sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terkini terjadi pada 24 Julai lalu yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.

Pada 28 Julai lalu Anwar menganjurkan mesyuarat penting di antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai di Putrajaya. Inisiatif itu berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara.

Perjanjian Damai KL yang dianggap sebagai pencapaian besar Asean berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada merebak dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.

Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025 menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan bermula hari ini hingga Selasa di KLCC.

Semalam, Mohamad berkata pengunduran senjata berat oleh Thailand dan Kemboja dari kawasan sempadan serta pemindahan dan pemusnahan bahan letupan atau periuk api antara perkara utama perjanjian damai antara kedua-dua negara itu.

Mohamad berkata perjanjian tersebut turut melibatkan penubuhan AOT di kawasan sempadan yang bergolak.

Perjanjian berkenaan katanya bertujuan mengekalkan gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak Julai lepas.

Mohamad berkata Asean turut berharap gencatan senjata berkenaan akan berkekalan dan menyeru kedua-dua negara meneruskan rundingan serta mencari penyelesaian secara aman bagi isu persempadanan mereka. – Bernama – 26/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button