KEMBARA

Cadangan Hari Muzik Negara dibawa ke Kabinet

Kementerian Komunikasi sedang meneliti cadangan mewujudkan Hari Muzik Negara sebagai usaha meraikan keupayaan dan kepelbagaian bakat pemuzik tempatan.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu antara yang akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri selepas kajian menyeluruh terhadap industri muzik tempatan selesai dijalankan.

“Dalam banyak bidang seni, kita dapati industri muzik masih belum mempunyai akta tersendiri. Sejak tahun lalu, saya sudah meminta MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi meneliti kewajaran untuk mewujudkan satu akta khas bagi industri ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan RIUH x ASEAN di Stadium Merdeka, pada Ahad.

Menurut Fahmi, kajian berhubung industri muzik itu sudah diselesaikan dan perbincangan dalaman akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi menentukan hala tuju dasar baharu serta pelaksanaan cadangan berkaitan.

“Saya jangkakan dalam satu atau dua minggu ini, kita akan adakan perbincangan dalaman sebelum membentangkan hala tuju industri muzik dan cadangan untuk sambutan Hari Muzik Negara kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan Hari Muzik Negara bukan sahaja sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pemuzik tempatan, tetapi juga sebagai wadah menyatukan pemain industri dari pelbagai latar serta genre dalam satu sambutan nasional.-27/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button